Krisis Pentadbiran Negeri Sembilan: 10 Bekas Presiden Majlis Peguam Pertahan Kedudukan Tuanku Muhriz

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 7:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Pentadbiran Negeri Sembilan: 10 Bekas Presiden Majlis Peguam Pertahan Kedudukan Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR - Sepuluh bekas Presiden Majlis Peguam mempersoalkan tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 16 September lalu.

Dalam kenyataan bersama mereka berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan serius dari sudut perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, terutama kerana ia didakwa dibuat tanpa alasan dinyatakan, proses sewajarnya atau siasatan.

Menurut mereka, proses penyingkiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tertakluk kepada Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, yang antara lain menetapkan keperluan supaya siasatan penuh dan menyeluruh dijalankan oleh Undang Yang Empat.

Bagaimanapun, mereka mendakwa, tiada bukti menunjukkan siasatan sedemikian pernah dijalankan, selain tiada pertuduhan atau dakwaan salah laku terhadap Tuanku Muhriz.

Mereka turut mendakwa Tuanku Muhriz tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang dakwaan terhadap baginda dan tidak diberikan peluang untuk menjawab atau didengari.

Kenyataan itu juga mempersoalkan kesahihan Proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang menjadi asas kepada penyingkiran berkenaan.

Antara perkara dibangkitkan ialah dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menandatangani dokumen itu di bawah tekanan sebelum membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Mereka turut mempersoalkan percanggahan tarikh dalam dokumen tersebut apabila proklamasi itu bertarikh 19 April, sedangkan Ismail hanya menandatanganinya pada 3 Ogos 2026.

Pada 19 April lalu, Ismail masih belum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sepuluh bekas Presiden Majlis Peguam itu berhujah, barisan Exco tidak mempunyai mandat, bidang kuasa atau kuasa di sisi Perlembagaan untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar.

Mereka mendakwa, kesahihan proklamasi berkenaan turut dipertikaikan oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Jabatan Peguam Negara.

Menurut mereka, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga dilaporkan mengambil pendirian selari dengan Jabatan Peguam Negara dan enggan meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan.

Dalam pada itu, mereka menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut tersebut serta menyeru semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Mereka turut menegaskan, Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan memberi amaran, perkembangan itu berpotensi mewujudkan suatu duluan terhadap sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan negara.

Sepuluh bekas presiden Majlis Peguam itu terdiri daripada Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Datuk Lim Chee Wee, Christopher Leong, Datuk George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah Yee Lynn. - Getaran, 21 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved