
GEORGE TOWN – Polis menahan 10 lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan menggunakan senjata di hadapan SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam, di sini, menerusi beberapa siri serbuan sejak 30 Ogos lalu.
Penahanan lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 56 tahun itu menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 23 orang setakat ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, tangkapan terbaharu itu dilakukan menerusi beberapa siri serbuan di Pulau Pinang dan Selangor antara 30 Ogos hingga 4 September lalu.
“Susulan 13 tangkapan awal, pasukan polis telah meneruskan beberapa siri serbuan di Pulau Pinang dan Selangor yang membawa kepada penahanan 10 lagi lelaki tempatan,” katanya, hari ini.
Sebelum ini, tiga lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 25 tahun dipercayai menjadi mangsa serangan dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi pada 29 Ogos lalu.
Dennis berkata, dua daripada mangsa diserang menggunakan senjata, manakala seorang lagi dilanggar sebuah kereta.
Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian berkaitan hutang selepas beberapa individu bertemu di sebuah medan selera di Paya Terubong.
Beliau berkata, hasil perkembangan siasatan, polis telah membuka dua kertas siasatan membabitkan kejadian tersebut.
Pada 1 September lalu, media melaporkan pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah sekolah di Ayer Itam, di sini adalah membabitkan ahli Geng 04.
Siasatan polis mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham berkaitan hutang antara suspek terlibat dan bukan melibatkan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen. – KOSMO! ONLINE
The post 10 lagi ditahan kes merusuh guna senjata di Ayer Itam appeared first on Kosmo Digital.






