10 Perubahan Terbesar Pernah Dilakukan Pada iPhone

TechnologyDigital
8 Sep 2025 • 1:30 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apple iPhone 17 akan dilancarkan beberapa hari sahaja lagi dengan rekaannya telahpun tertiris dengan perubahan tubuh yang ketara. Ini bukanlah kali pertama perubahan besar dilakukan oleh Apple ke atas iPhone. Di bawah ialah 10 perubahan besar pernah dilakukan sejak iPhone dilancarkan 18 tahun yang lalu.

1. Apple iPhone (2007) – Templat Telefon Pintar Moden

image is not available
Apple iPhone Gen 1

Tanggal 9 Januari 2007 ialah tarikh yang sangat penting dan bersejarah bukan sahaja untuk Apple tetapi juga untuk dunia telefon mudah alih. Dengan sekelip mata paradigma rekaan sebuah telefon mudah alih dan antaramuka yang digunakan berubah. Telefon tidak lagi memerlukan butang fizikal dan skrin yang kecil. Apple mengubah wajah telefon di tangan yang sehingga kini dapat dilihat impaknya selepas 18 tahun berlalu.

iPhone mempopularkan skrin sesentuh yang mengesan sentuhan dan tatalan. Ciri cubit dan zum yang kini dilakukan puluhan kali setiap hari boleh dijejak permulaannya menerusi iPhone yang pertama. Era satu peranti pintar berfungsi sebagai telefon, alat pemain muzik digital dan pelayar web di tapak tangan bermula. Secara tidak langsung iOS juga mempopularkan rekaan antaramuka skeuomorfik yang menjadi ikutan industri.

2. Apple iPhone 3G (2008) – Era Stor Aplikasi Bermula

image is not available
Apple iPhone 3G

Dengan sokongan rangkaian 3G yang lebih pantas, pelbagai tugas boleh dilakukan pada sebuah iPhone 3G. Satu lagi sumbangan iPhone 3G ialah pengenalan stor aplikasi dan memulakan ledakan ekonomi menerusi aplikasi. Memang benar sistem operasi lain juga mempunyai stor aplikasi mereka sendiri tetapi App Store yang pertama menunjukkan keuntungan besar boleh dicapai.

Perisian akan menjadi raja pada telefon pintar selepas ini dan bukan lagi perkakasan. Ketiadaan aplikasi wajib seperti Angry Birds, Instagram dan Facebook pada sebuah telefon pintar menyebabkan telefon pintar tidak laku di pasaran. Liang lahad untuk Research in Motion, Ericsson dan Nokia mula digali pada tahun 2008.

3. Apple iPhone 4/4s (2010/2011) – Perubahan Tubuh Pertama, Facetime dan Siri

image is not available
Apple iPhone 4

iPhone 4 membawakan perubahan terbesar 3 tahun selepas dilancarkan. Rekaan seakan batu sungai yang licin di belakang digantikan dengan rekaan tubuh rata pada sisi dan belakang. Ia iPhone pertama boleh diletakkan rata di atas meja. Skrin Retina Display juga diperkenalkan dan juga ciri FaceTime juga diperkenalkan menerusi iPhone 4.

Saya gabungkan iPhone 4 dan iPhone 4S sekali kerana ia adalah pelanduk dua serupa. Setahun selepas iPhone 4 dilancarkan, iPhone 4S muncul di pasaran dan memperkenalkan pula pembantu maya Siri. Buat pertama kalinya pengguna boleh bercakap dengan telefon dan memberikan arahan menggunakan suara. Saya masih ingat kali pertama menggunakan Siri dan benar-benar merasakan seakan hidup dalam dunia masa depan. Tanpa Siri, kemungkinan Google Assistant, Samsung Bixby, Amazon Alexa, dan Google Gemini tidak wujud.

4. Apple iPhone 5/5s (2012/2013) – Skrin 16:9 dan Touch ID

image is not available
Apple iPhone 5s

iPhone 5 memulakan era skrin 16:9 pada iPhone. Filem yang dimuat turun menerusi iTunes dan kandungan YouTube boleh ditonton menggunakan skrin lebar pada nisbah sebenar. Kemudian iPhone 5s memperkenalkan pula sistem Touch ID untuk imbasan biometri.

Bukan sahaja telefon boleh dinyahkunci dengan sentuhan tetapi pembelian aplikasi dan pengesahan identiti ketika log masuk laman boleh dilakukan dengan Touch ID. Sekali lagi Apple memulakan trend yang diikuti pengeluar lain. Selain itu iPhone 5s juga memulakan era iPhone 64-bit

5. Apple iPhone 6 dan 6 Plus (2014) – Era Saiz Skrin Berbeza dan Apple Pay

image is not available
Apple iPhone 6 dan 6 Plus

Bermula dengan iPhone 6 dan 6 Plus, Apple mula menawarkan iPhone dengan dua saiz skrin berbeza. iPhone 6 dengan skrin 4.7 inci dan iPhone 6 Plus pula dengan skrin 5.5 inci. Pada awalnya iPhone 6 Plus menerima kritikan peminat tegar iPhone kerana saiz skrin yang dikatakan terlalu besar sehingga sukar digunakan sebelah tangan.

Tiga tahun sebelumnya, mendiang Steve Jobs mengkritik skrin 5.3-inci pada Samsung Galaxy Note dan selepas beliau meninggal dunia Apple menghasilkan iPhone dengan skrin lebih besar. Turut diperkenalkan dengan telefon ini ialah Apple Pay yang membolehkan pembayaran secara nirtunai dilakukan menggunakan sebuah iPhone.

6. Apple iPhone 7/7 Plus (2016) – Dwi Kamera dan Tiada Lagi Bicu Audio

image is not available
Apple iPhone 7 dan 7 Plus

Selepas 7 tahun, iPhone 7 Plus menjadi yang pertama dilengkapi dwi-kamera di bahagian belakang. Kombinasi lensa sudut lebar 12MP dan ultra sudut lebar 12MP akhirnya tiba ke iPhone selepas ia dipelopori oleh LG G5 dalam tahun yang sama.

Tahun 2016 juga menjadi tahun pertama menawarkan iPhone dengan konfigurasi kamera berbeza kerana iPhone 7 masih sekadar dilengkapi satu kamera utama di belakang. Selain itu siri iPhone 7 menjadi yang pertama juga tanpa bicu audio 3.5mm. Apple mengatakan ia adalah satu keberanian tidak menyertakan bicu audio sebaliknya aksesori baharu AirPods dilancarkan. Pada awalnya tindakan Apple ini menjadi bahan jenaka tetapi kemudiannya menjadi perkara standard.

7. Apple iPhone X (2017) – Hello Face ID, Selamat Tinggal Butang Home

image is not available
Apple iPhone X

Sempena ulang tahunnya yang ke-10, iPhone X dilancarkan dengan perubahan “wajah” hadapan paling drastik sejak iPhone 5. Tiada lagi butang Home yang digantikan dengan skrin menyeluruh di hadapan dengan Ia juga iPhone pertama dengan skrin OLED

Face ID menggantikan Touch ID dengan wajah diimbas menggunakan sistem 3D yang lebih selamat. Tetapi penggunaan Face ID menyebabkan iPhone memerlukan sebuah takuk besar di bahagian hadapan. Inovasi besar yang dilakukan pada perisian ialah navigasi menggunakan gestur serta Memoji yang mengikut raut wajah pengguna.

8. Apple iPhone 11 Pro (2019)- Era Tri-Kamera

image is not available
Apple iPhone 11, iPhone 11 Pro dan Apple iPhone 11 Pro Max

Apple meninggalkan era dwi-kamera bermula dengan iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max. Kamera belakang kini dilengkapi lensa sudut lebar, ultra lebar dan telefoto mengikuti trend yang dimulakan oleh Huawei P20 Pro setahun sebelum itu. Dengan pengenalan tri-kamera utama, era bonggol kamera besar di belakang iPhone juga secara rasmi bermula dengan ia akan menjadi semakin besar tahun demi tahun,.

9. Apple iPhone 14 Pro (2019) – Selamat Tinggal Takuk, Hello Satelit

image is not available
Apple iPhone 14 Pro

Takuk besar iPhone X digantikan dengan lubang kamera besar pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max. Lubang kamera ini disorokkan dengan pengenalan sistem Dynamic Island yang menunjukkan muzik yang sedang dimainkan, animasi tambahan AirPods dan Live Activities.

Semua peranti siri iPhone 14 juga mempunyai sokongan komunikasi teks kecemasan menggunakan rangkaian satelit. Walaupun sudah hampir 6 tahun dilancarkan, ciri ini masih belum diterima pengguna di Malaysia.

10. Apple iPhone 15 (2023) – Action Button, Titanium dan USB-C

image is not available

Apple akhirnya akur dengan permintaan pasaran dengan menawarkan iPhone dengan USB-C bermula dengan iPhone 15. Dengan pelancarannya dua tahu lalu, iPhone, iPad, MacBook dan AirPods kesemuanya boleh dicas menggunakan satu kabel yang sama. Selain itu ia juga membawakan sokongan merakam video 4K ProRes terus ke SSD yang disambung terus ke peranti. Dari segi rekaan ia iPhone pertama dengan tubuh titanium lebih ringan serta tahan lasak.

Action Button pula menggantikan butang laras membisukan notifikasi yang telah digunakan iPhone sejak generasi pertama lagi. Kali ini butang boleh diprogramkan untuk bukan sahaja membisukan siri iPhone 15 Pro tetapi juga boleh melancarkan kamera, memulakan sesi rakaman Voice Memo, mengaktifkan sistem pintar di rumah dan banyak lagi.