
TANAH MERAH – Kegiatan sebuah kilang yang menjalankan kegiatan membeli sebanyak 290 batang kayu hutan daripada penduduk setempat secara haram terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu premis tersebut di Kampung Bukit Kecil di sini semalam.
Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 2 petang itu turut merampas pelbagai spesies kayu hutan, sebuah jentera berat dan pelbagai peralatan memotong kayu yang dianggarkan bernilai RM1.42 juta.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki sedang mengendalikan sebuah jentera berat manakala tiga lagi pekerja memotong kayu menggunakan mesin gergaji di dalam kilang tersebut.
Katanya, seorang lelaki berusia 27 tahun yang mengaku sebagai kerani kilang kayu tersebut menunjukkan satu salinan Perakuan Industri Berasas Kayu yang sah bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2026.
“Lelaki itu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang permit pemindahan kayu daripada Jabatan Perhutanan.
“Anggota PGA menghubungi Jabatan Perhutanan Tanah Merah sebelum pihak berkenaan hadir dan mengesahkan bahawa kayu-kayu yang terdapat di kawasan kilang tersebut dipercayai tidak bercukai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, lelaki itu turut memaklumkan dia menerima gaji bulanan sebagai kerani sebanyak RM2,000 daripada pemilik kilang.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, bekalan kayu hutan yang diproses di kilang berkenaan diperoleh daripada penduduk setempat.
“Kayu-kayu tersebut dipercayai tidak bercukai dan keadaan itu menimbulkan syak bahawa sumber bekalan berkenaan diperoleh secara tidak sah.
“Kayu yang telah siap diproses dipercayai dibekalkan kepada beberapa kilang penghasilan kayu palet di sekitar Kelantan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan produk berasaskan kayu.
“Aktiviti itu dipercayai dilakukan secara berperingkat mengikut permintaan pelanggan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan sektor perindustrian,” ujarnya.
Beliau berkata, sebanyak 290 batang kayu hutan pelbagai spesies bernilai RM29,000, jentera berat dan peralatan memotong kayu dengan anggaran keseluruhan bernilai RM1.42 juta dirampas.
Menurutnya, selain itu, empat lelaki berusia 26 hingga 45 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). – KOSMO! ONLINE
The post Kilang beli kayu hutan haram daripada penduduk setempat diserbu PGA appeared first on Kosmo Online.






