Penduduk naikkan Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu

8 Sep 2026 • 7:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penduduk naikkan Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu

KUBANG PASU: Ketinggian kira-kira 120 meter dan permukaan laluan yang berbatu tajam dan sempit tidak mematahkan semangat penduduk untuk memastikan Jalur Gemilang bersaiz besar berkibar megah sempena Hari Malaysia di puncak Bukit Hantu, Kodiang.

Pengerusi Komuniti Bukit Hantu, Arif Fazilah Abdullah berkata, kerjasama penduduk terutama semangat golongan muda akhirnya berjaya mereali­sasikan idea itu setelah empat kali tiang yang dibawa naik patah akibat ribut.

Ujarnya, mereka berdepan cabaran yang hebat kerana perlu menempuh laluan sukar setiap kali mendaki ke puncak bukit ditambah dengan faktor cuaca yang menyebabkan permukaan batu menjadi licin.

“Sebenarnya proses untuk menyiapkan Jalur Gemilang berukuran sembilan meter panjang dan 4.5 meter lebar tidak sukar kerana ia dihasilkan di pekarangan surau sebelum dibawa naik.

“Namun, cabaran kami adalah untuk membawa tiang se­tinggi 10 meter ke atas puncak bukit kerana tidak ada laluan yang khusus melainkan perlu mendaki di atas batu dan me­ngusungnya secara bergilir.

“Kami sudah empat kali bawa naik tiang kayu tetapi patah kerana dilanda angin kuat, lalu kami ambil keputusan untuk guna tiang besi agar lebih kukuh di atas puncak bukit dan akhirnya kami berjaya memastikan Jalur Gemilang berkibar megah,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Firdaus Marzuki, 37, teruja kerana pertama kali terlibat dalam proses menaikkan bendera gergasi dan tiang tersebut yang amat berat ketika mendaki.

“Pendakian ke atas memang tidak sukar mana tetapi kalau bawa bersama tiang besi agak susah sebab laluannya yang mencabar tapi kami berjaya. Memandangkan ia pertama kali saya rasa sangat teruja,” katanya.

Bagi warga emas, Johari Mohd. Said, 65, bersyukur kerana semangat kerjasama penduduk tanpa mengira lapisan umur merealisasikan impian mereka mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Bukit Hantu.

“Komuniti di sini memainkan peranan masing-masing terutama anak-anak muda yang tidak mengenal penat dan jemu dalam memastikan usaha ini berjaya.

“Apatah lagi Bukit Hantu mempunyai keunikan tersendiri dan sering menerima kunju­ngan pendaki luar yang mahu menyaksikan keindahan sawah padi dan suasana kampung dari atas puncak,” katanya. – UTUSAN

The post Penduduk naikkan Jalur Gemilang gergasi di puncak Bukit Hantu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved