
KUALA KANGSAR: Lebih 100 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Kangsar mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Mereka diketuai oleh Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar bersama beberapa lagi pemimpin peringkat Cawangan setempat.
Kata Adly Shah, peletakan jawatan mereka adalah berkuat kuasa serta-merta.
“Tindakan ini dibuat kerana melihat Bersatu gagal berkembang di Kuala Kangsar dengan bilangan akar umbi yang semakin mengecil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar ketika ini dipegang oleh Dr. Hashim Bujang yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan.
Dakwa Adly Shah, peletakan jawatan itu juga dibuat oleh sembilan pemimpin cawangan Bersatu di Kuala Kangsar.
Mengulas lanjut, beliau yakin parti Wawasan akan mengukuh di Kuala Kangsar berdasarkan prestasi parti itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“PRN Negeri Sembilan menjadi kayu pengukur berdasarkan konsensus parti Wawasan, Barisan Nasional (BN) dan Pas. Yakin mampu berjaya,” katanya.
Tambahnya, mereka menyokong penuh Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kini akan memulakan gerak kerja untuk menubuhkan Wawasan Bahagian Kuala Kangsar.
Pada masa sama, beliau enggan mengisytiharkan Bersatu Kuala Kangsar terbubar atau lumpuh kerana tidak pasti sejauh mana keputusan mereka hari ini memberi impak terhadap Bersatu. –UTUSAN
The post 100 ahli Bersatu Kuala Kangsar keluar parti, sertai parti Wawasan appeared first on Utusan Malaysia.






