UMNO, BN tidak boleh pilih pemimpin secara ‘tangkap muat’

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 2:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO, BN tidak boleh pilih pemimpin secara ‘tangkap muat’

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh mengetengahkan pemimpin secara ‘tangkap muat’ kerana setiap wakil parti kini dinilai secara teliti oleh rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ahli parti yang mempunyai aspirasi untuk menjadi pemimpin perlu memahami bahawa kehendak dan penilaian rakyat sudah berubah.

“Ini merupakan salah satu peringatan kepada kita semua, terutama ahli UMNO yang mempunyai aspirasi untuk menjadi pemimpin.

“Keadaan bukan lagi seperti dahulu apabila kita boleh memilih secara ‘tangkap muat’. Sekarang, setiap individu yang mewakili UMNO atau BN akan dinilai.

“Kita mesti mengetengahkan pemimpin yang bersedia untuk diteliti oleh rakyat. Itu sangat penting,” katanya ketika ditemui selepas Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Johari, ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menekankan kepentingan memahami perubahan yang berlaku dalam negara, khususnya berkaitan kehendak rakyat.

Katanya, ekspektasi rakyat berubah mengikut zaman sehingga perkara seperti keterbukaan dan tadbir urus kini menjadi tuntutan mereka.

“Perkara ini perlu diambil serius oleh parti. Kita tidak lagi boleh menjalankan urusan seperti biasa kerana rakyat hari ini membuat penilaian berdasarkan beberapa aspek.

“Antaranya ialah keterbukaan dan kesungguhan seseorang pemimpin untuk membangunkan negara serta tidak mengamalkan dwistandard.

“Apabila kita menetapkan sesuatu perkara itu perlu dilakukan oleh semua pihak, maka semuanya perlu mematuhi cara, prosedur atau kehendak yang sama,” katanya. –UTUSAN

The post UMNO, BN tidak boleh pilih pemimpin secara ‘tangkap muat’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved