KOTA BHARU – Sebanyak 100 kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti perlombongan haram di Kelantan bagi tempoh 2024 hingga September lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 kes telah diselesaikan manakala baki 51 kes masih dalam siasatan.
Menurut beliau, semua kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001.
"Pencapaian ini hasil 104 operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan agensi kerajaan negeri bersama pasukan keselamatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (Pas-Chempaka) pada Persidangan Kali Ketiga Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.
Mohamed Fadzli memberitahu, tindakan penguatkuasaan turut merangkumi penyitaan jentera dan tapak perlombongan serta pemusnahan peralatan yang digunakan untuk aktiviti mendulang haram.
Menurut beliau, tindakan undang-undang juga diambil terhadap pihak yang menceroboh kawasan perlombongan, termasuk penahanan dan pendakwaan.
"Kadar denda dan kompaun turut ditingkatkan bagi kesalahan berulang sebagai langkah memberi pengajaran kepada pesalah.
"Selain itu, langkah pencegahan diperkukuh melalui pemasangan papan tanda amaran dan pemantauan udara menggunakan teknologi dron di kawasan berisiko tinggi," katanya.






