
KUALA LUMPUR – Seramai 100 rapper tempatan merentas generasi, negeri dan bahasa bakal berkongsi satu pentas menerusi RAPAT Hip Hop Fest di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Oktober ini.
Dihimpunkan menerusi segmen The National Cypher, barisan penggiat muzik tersebut bakal menjadi antara tarikan utama festival anjuran CEOMAN Entertainment yang turut menampilkan Bunga, Forceparkbois dan K-Clique.
Penganjur acara, Sherman Heng berkata, festival berkenaan tercetus daripada hasrat untuk memberi ruang lebih besar kepada bakat hip-hop tempatan, selain merapatkan hubungan antara perintis dengan generasi baharu.
“RAPAT bermula dengan satu soalan mudah: Bolehkah hip-hop tempatan memenuhkan Stadium Nasional?
“Malaysia mempunyai budaya hip-hop yang amat kukuh, namun sekian lama ia bergerak sendirian di ruang underground.
“Berpandukan pengalaman kami menganjurkan konsert antarabangsa, sudah tiba masa untuk kami membawa bakat hebat ini ke stadium terbesar negara dan membuktikan nilai komersial serta potensi sebenar bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sherman, RAPAT yang membawa maksud rapat, berkumpul dan bersatu turut mengetengahkan nilai saling menghormati serta mesej kedamaian menerusi muzik dan budaya jalanan.
Mengulas pemilihan Bunga, Forceparkbois dan K-Clique bagi pengumuman artis fasa pertama, beliau berkata, gabungan itu mencerminkan kepelbagaian identiti serta kekuatan arena hip-hop negara.

“Barisan artis fasa pertama ini mewakili kepelbagaian warna, tenaga dan identiti unik arena hip-hop tempatan, menyaksikan gabungan dominasi arus perdana hingga ke gelombang baharu yang dinamik.
“Ini adalah gambaran awal kepada kualiti dan skala persembahan yang kami janjikan di Stadium Nasional nanti,” ujarnya.
Festival tersebut turut menampilkan bakat baharu dan penggiat underground, selain persembahan DJ serta penari breakdance tempatan.
Katanya, senarai artis bagi fasa seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, RAPAT Hip Hop Fest menyediakan lima zon yang menggabungkan persembahan muzik, budaya jalanan, fesyen dan makanan.
Zon The Main Stage menampilkan persembahan artis utama, rapper serta DJ, manakala The Underground menjadi ruang untuk aksi battle, freestyle dan cypher generasi baharu.
Pengunjung juga boleh menyaksikan aksi breakdance, papan selaju dan sukan jalanan di zon The Street, selain mengenali jenama pakaian jalanan tempatan serta budaya kasut sneakers di The Market.
Sementara itu, zon makanan The Flavour atau Rapat Bazaar berlangsung selama tiga hari, bermula 23 hingga 25 Oktober di kawasan parkir C.
Bagi membolehkan lebih ramai peminat menyertai festival tersebut, penganjur menawarkan tiket RAPAT GENG bagi kategori kemasukan umum pada harga RM99, dengan akses ke semua zon serta kebebasan bergerak dalam kawasan kategori berkenaan sepanjang hari.
“Misi kami jelas iaitu menjadikan festival skala stadium ini boleh diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

“Pada harga tiket RM99, kami membuka pintu untuk sesiapa sahaja yang mahu merasai tenaga dan kehangatan budaya hip-hop tempatan secara langsung,” katanya.
Tiket mula dijual sejak 28 September lalu menerusi maiseat.com dan ticket2u.com. – KOSMO! ONLINE
The post 100 rapper, mampukah hip-hop kita penuhkan Stadium Nasional? appeared first on Kosmo Online.





