106,000 murid di Selangor nikmati sarapan percuma bermula semalam

LocalFamily & Parenting
4 Aug 2026 • 12:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 106,000 murid di Selangor nikmati sarapan percuma bermula semalam
Program NutriSel dilaksanakan kerajaan Negeri bermula pada Isnin.

SHAH ALAM – Seramai 106,435 murid di 962 sekolah di seluruh Selangor mula menikmati sarapan percuma menerusi program Nutrisi Selangor (NutriSel) yang dilaksanakan kerajaan Negeri bermula pada Isnin.

Menerusi infongrafik Pusat Informasi Negeri Selangor (PINS) memaklumkan, program itu membabitkan peruntukan berjumlah RM14.4 juta dan akan berlangsung sehingga Oktober ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga selain memastikan murid mendapat pemakanan seimbang sebelum memulakan sesi pembelajaran.

Menurut PINS, inisiatif itu memberi manfaat kepada murid sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah agama di seluruh negeri.

"NutriSel dilaksanakan sebagai usaha memastikan lebih ramai murid mendapat akses kepada sarapan berkhasiat sekali gus menggalakkan kehadiran serta meningkatkan tumpuan mereka di dalam kelas.

"Program itu juga dilihat mampu membantu ibu bapa menjimatkan perbelanjaan harian khususnya dalam penyediaan makanan untuk anak-anak ke sekolah," katanya.

Pelaksanaan NutriSel bermula 3 Ogos hingga Oktober itu dijangka memberi impak positif kepada kesejahteraan pelajar serta menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh kebajikan rakyat melalui agenda pendidikan dan pemakanan sihat.

Sinar Harian pada 14 Julai lalu melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, pelaksanaan program sarapan percuma kepada pelajar di Selangor mengambil inspirasi daripada beberapa negara maju yang membuktikan inisiatif itu bukan satu pembaziran, sebaliknya pelaburan terhadap kesejahteraan kanak-kanak.

Beliau menjelaskan, beberapa negara sudah lama melaksanakan penyediaan sarapan percuma di sekolah dengan menunjukkan kesan positif terhadap kebajikan serta perkembangan pelajar.

NutriSel akan disalurkan dua hingga tiga kali seminggu kepada pelajar yang dikenal pasti melalui data JPN Selangor bagi membantu mengurangkan beban keluarga memerlukan.

Penerima program itu sudah dikenal pasti dengan mekanisme pelaksanaan hampir sama seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah lama dijalankan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved