
PUTRAJAYA: Kehadiran murid, pencapaian akademik, tahap disiplin dan kesejahteraan minda menjadi empat indikator utama pelaksanaan Program Reformasi Sekolah yang bermula minggu ini.
Kementerian Pendidikan berkata, program itu merangkumi pembaharuan dalam kaedah pengajaran, pemerkasaan kesejahteraan mental warga sekolah, penyelesaian isu buli dan memastikan kesejahteraan seluruh komuniti sekolah terus diperkukuhkan.
Katanya, program rintis membabitkan 1,500 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara itu bertujuan untuk memberi penekanan kepada meningkatkan kemenjadian murid, memperkukuh profesionalisme guru dan menambahbaik prasarana sekolah.
“Justeru itu, sejauh mana kejayaan Program Reformasi Sekolah diukur berdasarkan empat indikator utama iaitu pencapaian akademik, kehadiran murid ke sekolah, tahap disiplin serta kesejahteraan minda murid selepas pelaksanaannya.
“Maka dengan sebab itu, kadar kehadiran murid ke sekolah akan dijadikan antara petunjuk penting kerana kehadiran yang konsisten mempunyai hubungan rapat dengan prestasi pembelajaran dan pembangunan sahsiah murid.
“Tahap disiplin turut diberi perhatian menerusi pelaksanaan pelbagai pendekatan yang menekankan pembentukan nilai, sahsiah dan budaya sekolah yang positif, selain mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selamat dan harmoni,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada minggu lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan pelaksanaan program Reformasi Sekolah sebagai projek rintis bagi mengangkat mutu pendidikan dan kemenjadian pelajar.
Katanya, setiap sekolah yang terpilih berpeluang menerima peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan mengikut keperluan dan perancangan masing-masing.
Menurut beliau, Reformasi Sekolah tidak wajar tertumpu kepada penambahbaikan fizikal semata-mata, tetapi membawa perubahan budaya dan mentaliti yang perlu digarap oleh guru dan pelajar untuk mengangkat martabat pendidikan ke arah lebih baik.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan berkata, program tersebut turut memberi fokus kepada pelaksanaan pelbagai strategi dan aktiviti pembelajaran yang dirancang bagi meningkatkan mutu penguasaan murid dalam empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Katanya, pencapaian pelajar dalam empat mata pelajaran itu akan dipantau secara berterusan bagi menilai keberkesanan intervensi yang dilaksanakan oleh pihak sekolah sepanjang program berlangsung.
Seian itu, Kementerian Pendidikan menjelaskan, sekolah yang terlibat akan melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan kerosakan kecil yang tidak melibatkan struktur bangunan.
“Keutamaan diberikan kepada penyelenggaraan kemudahan pembelajaran seperti pusat sumber, makmal sains, bilik komputer dan bengkel Reka Bentuk dan Teknologi bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dalam persekitaran yang lebih kondusif,” katanya.
Kementerian Pendidikan berkata, sebanyak 10 sekolah dipilih di setiap daerah, masing-masing lima SK dan lima SMK, menjadikan keseluruhan 1,500 sekolah terlibat dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Pemilihan sekolah dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk mencapai taraf cemerlang menerusi penarafan Standard Kualiti Sekolah selain berstatus Sekolah Inspirasi mengikut kategori Reformasi Sekolah,” katanya.-UTUSAN
The post Empat indikator Reformasi Sekolah appeared first on Utusan Malaysia.






