107 sekolah di Sarawak tutup akibat Jerebu

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 6:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 107 sekolah di Sarawak tutup akibat Jerebu

PETALING JAYA: Sebanyak 107 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan ditutup esok berikutan keadaan cuaca panas dan jerebu yang melanda beberapa lokasi di Sarawak.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) berkata, penutupan itu membabitkan lapan sekolah menengah dan 99 sekolah rendah.

“Setakat jam 4 petang, JPNS menerima laporan sekolah yang akan ditutup pada 13 Ogos 2026 (Khamis) membabitkan 107 sekolah di bawah seliaan PPD Serian.

“JPNS sentiasa menitikberatkan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika menghadapi keadaan cuaca panas atau sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen pemantau kualiti udara di Serian mencatatkan bacaan 198 setakat jam 5 petang ini.

Menurut kenyataan itu, cuaca panas yang melanda negara turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain Serian, tujuh lagi stesen pemantau kualiti udara di Sarawak mencatat IPU tahap tidak sihat setakat jam 5 petang ini.

Stesen yang turut merekodkan peningkatan bacaan pada tahap tidak sihat itu masing-masing Samarahan dengan 179, Kuching (178), Sarikei (160), Bintulu (152), Sri Aman (157), Sibu (115) dan Miri (132).

JPNS turut mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dan dianggap kritikal.

Katanya, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPNS juga dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti garis panduan dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023, iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas.

Mengulas lanjut, JPNS turut meminta institusi pendidikan supaya peka terhadap perkembangan semasa melalui media berkaitan fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing.

“Institusi pendidikan juga perlu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.

“JPNS mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” katanya. – UTUSAN

The post 107 sekolah di Sarawak tutup akibat Jerebu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved