
KUCHING - Jerebu di Sarawak semakin memburuk apabila dua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (API) dalam kategori ‘Sangat Tidak Sihat’, ketika operasi memadam kebakaran hutan di Sri Aman dan Mukah memasuki hari ketiga.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan, Tebedu merekodkan bacaan API 212 setakat jam 4 petang, manakala Serian mencatatkan bacaan 202.
Sebanyak 11 kawasan lain pula berada dalam kategori ‘Tidak Sihat’, membabitkan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Samalaju, Miri, Lundu, Lubok Antu dan Lawas.
Lima kawasan lain iaitu Mukah, Kapit, ILP Miri, Limbang dan Bario merekodkan bacaan di bawah kategori ‘Sederhana’.
Tiada kawasan mencatatkan bacaan API untuk kategori ‘Baik’ atau ‘Berbahaya’.
Menurut JPBNS, trend peningkatan bacaan API di Sarawak mula ketara sejak 1 Ogos lalu, dan sehingga semalam, 75 titik panas dikesan di negeri terbabit, berbanding 3,853 titik panas yang direkodkan di Kalimantan, Indonesia.
Keadaan Monsun Barat Daya yang membawa angin konsisten dari arah barat daya turut berpotensi menyumbang kepada jerebu rentas sempadan, sekali gus menyebabkan kualiti udara di Sarawak terus merosot.
JPBNS berkata, keadaan berkenaan berkemungkinan berterusan dalam beberapa hari akan datang sekiranya aktiviti pembakaran biojisim di luar Sarawak meningkat.
Susulan bacaan API melebihi 200 di Bahagian Serian, sebanyak 108 sekolah ditutup sementara, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan bagi memastikan proses pendidikan murid tidak terjejas.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara berada pada tahap ‘Tidak Sihat’ atau lebih buruk.
Golongan berisiko tinggi pula dinasihatkan mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar serta mengelakkan aktiviti fizikal berat dan sukan luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
JPBNS berkata, pemantauan terhadap kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas dan kejadian kebakaran akan diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan.
Sementara itu, operasi memadamkan dua kebakaran hutan utama di Sri Aman dan Mukah masih diteruskan buat hari ketiga.
Kebakaran di Jalan Kejatau-Lingga, Sri Aman, dilaporkan telah memusnahkan kawasan seluas kira-kira 80 hektar dan daripada jumlah itu, kira-kira 20 hektar berjaya dipadamkan, manakala 60 hektar lagi masih terbakar.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pasukan bomba menggunakan kaedah total flooding, khususnya di kawasan tanah gambut, bagi mengawal kebakaran.
“Kebakaran dilaporkan berlaku pada tengah hari Isnin dan operasi berdepan beberapa cabaran, termasuk ketiadaan liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut beliau, tiupan angin kencang turut menyebabkan api merebak dengan pantas, manakala sumber air terbuka yang terhad seperti parit serta jalan masuk yang sempit menyukarkan pergerakan pasukan bomba.
Seramai 12 anggota bomba dikerahkan bagi mengawal kebakaran berkenaan.
Dalam kejadian berasingan di Kampung Kut, Daro, Mukah, kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 8.34 hektar.
Sebanyak empat hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki 4.34 hektar masih terbakar, dengan api dilaporkan merebak ke arah Kampung Sungai Kut.
Pasukan bomba turut membina firebreak bagi menghalang api daripada merebak ke kawasan lain.
Operasi pemadaman di lokasi berkenaan turut berdepan kesukaran kerana tiada laluan terus ke kawasan kebakaran, menyebabkan anggota bomba terpaksa membersihkan laluan sebelum menyeberangi parit dari jalan utama.
Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro terlibat dalam operasi tersebut.
Kedua-dua operasi pemadaman masih diteruskan ketika pihak berkuasa berusaha mengawal kebakaran serta menghalang api daripada merebak ke kawasan berhampiran. - Getaran, 12 Ogos 2026





