
PETALING JAYA: Beberapa kawasan di seluruh negara terus merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi akibat jerebu rentas sempadan dengan Serian, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi, setakat 3.30 petang, hari ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), kawasan mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat ialah ialah Serian (204) manakala tidak sihat ialah Kuching (177), Samarahan (177), Sarikei (161), Bintulu (154), Sri Aman (158), Samalaju (120), Sibu (135) dan Miri (152).
Selain itu, kawasan lain yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Putrajaya (121), Cheras (122) dan Shah Alam (112).
Sementara itu, sebanyak 50 kawasan iaitu seluruh negara merekodkan IPU pada tahap sederhana akibat jerebu rentas sempadan.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, manakala 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Media sebelum ini melaporkan kebakaran hutan berskala besar sedang berlaku di wilayah Kalimantan, Indonesia sehingga mengakibatkan jerebu teruk berlaku di Kalimantan Barat.
Dianggarkan lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia terjejas akibat kebakaran setakat Isnin lalu, dengan kerajaan meningkatkan usaha bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan menjejaskan negara jiran. -UTUSAN
The post Jerebu terus memburuk appeared first on Utusan Malaysia.






