
KUALA LUMPUR - Sebelas penunggang motosikal maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku sepanjang empat hari penganjuran program RXZ Members 8.0 bermula 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.
Dalam tempoh sama, lima lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala 30 yang lain cedera ringan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, sebanyak 46 kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal direkodkan sepanjang program berkenaan.
Menurut beliau, 31 Julai mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 16 kes, diikuti 15 kes pada 2 Ogos, 11 kes pada 1 Ogos dan empat kes pada 30 Julai.
“Golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun merekodkan jumlah penglibatan tertinggi dalam kemalangan iaitu seramai 19 orang.
“Ia diikuti penunggang berusia 18 hingga 20 tahun (10 orang), 41 hingga 50 tahun (sembilan orang) dan 31 hingga 40 tahun (lapan orang),” katanya.
Muhammed Hasbullah berkata, secara keseluruhan, seramai 29 daripada 46 penunggang yang terbabit dalam kemalangan adalah dalam lingkungan usia 18 hingga 30 tahun.
Beliau berkata, penunggang berusia 20 tahun merekodkan jumlah penglibatan tertinggi, iaitu seramai tujuh orang.
“Dari segi jantina, 44 daripada mangsa adalah lelaki, manakala dua lagi merupakan wanita,” katanya.
Mengulas jenis kemalangan yang berlaku, beliau memberitahu, kemalangan akibat pelanggaran dari belakang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti insiden motosikal terbabas sebanyak 15 kes.
“Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ialah kecuaian, kegagalan mengawal motosikal, menunggang terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan serta amalan tunggangan yang tidak selamat,” katanya.
Beliau berkata, JSPT memandang serius peningkatan jumlah kemalangan maut dan kemalangan serius, khususnya yang membabitkan penunggang motosikal dalam kalangan golongan muda. - Getaran, 4 Ogos 2026






