46 kemalangan, 11 maut sepanjang program RXZ Members 8.0

4 Aug 2026 • 5:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

46 kemalangan, 11 maut sepanjang program RXZ Members 8.0

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 46 kemalangan membabitkan penunggang motosikal, termasuk 11 kemalangan maut, sepanjang empat hari penganjuran Program RXZ Members 8.0 dari 30 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, daripada keseluruhan kes, 11 adalah kemalangan maut, lima kemalangan parah dan 30 lagi kemalangan ringan.

Beliau berkata, sebanyak empat kemalangan direkodkan pada 30 Julai, diikuti 16 kes pada 31 Julai, 11 kes pada 1 Ogos dan 15 kes pada 2 Ogos, lapor Berita Harian.

Katanya, golongan berusia 21 hingga 30 tahun mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 19 orang atau 41.3 peratus, diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun (10 orang), 41 hingga 50 tahun (sembilan orang) dan 31 hingga 40 tahun (lapan orang).

"Majoriti mangsa adalah lelaki iaitu seramai 44 orang atau 95.65 peratus, manakala dua lagi ialah wanita," katanya.

Menurut beliau, kemalangan langgar belakang merekodkan jumlah tertinggi dengan 21 kes, diikuti terbabas sendiri (15 kes), langgar sebelah tepi (tujuh kes) dan bergesel (tiga kes).

Hasbullah berkata, semua 11 kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala kemalangan parah disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta sama.

Beliau berkata, JSPT memandang serius peningkatan kemalangan membabitkan penunggang motosikal, khususnya golongan muda.

Menurutnya, antara punca utama dikenal pasti ialah kecuaian, gagal mengawal motosikal, mengekori kenderaan terlalu rapat serta menunggang secara berbahaya.

Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur program bermotosikal menyediakan pelan pergerakan yang lebih tersusun, memberi taklimat keselamatan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Jangan jadikan keseronokan menyertai sesuatu program sebagai alasan untuk mengabaikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved