RXZ Members 8.0: Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta

LocalCars
4 Aug 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RXZ Members 8.0: Polis serah semula 222 motosikal disita kepada peserta
Mohd Khairi (kanan) meninjau motosikal yang disita pada sidang media mengenai status keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang himpunan RXZ Members 8.0 di IPK Terengganu pada Isnin. Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 222 motosikal yang disita sepanjang program RXZ Members 8.0 pada Jumaat dan Sabtu lalu diserahkan semula kepada pemilik masing-masing selepas proses saman dan dokumentasi selesai.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, proses penyerahan motosikal berkenaan berjalan lancar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan dilakukan secara berperingkat pada Ahad serta Isnin. 

Beliau berkata, kebanyakan motosikal yang disita tidak terlibat dalam sebarang kejadian jenayah, sebaliknya tindakan itu dibuat atas kesalahan serta pelanggaran undang-undang jalan raya seperti pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, perlindungan insurans dan brek belakang.

"Pemilik motosikal telah mengakui kesalahan lalu lintas yang dilakukan. Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada penganjuran himpunan RXZ Members akan datang," katanya dalam kenyataan pada Isnin. 

Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menghormati minat serta aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang.

Bagaimanapun, JPJ Terengganu menegaskan aspek keselamatan serta kepentingan awam perlu diberi keutamaan dalam setiap penganjuran aktiviti permotoran berskala besar.

Menurut agensi itu, pengukuhan budaya keselamatan membabitkan peserta, penganjur dan agensi berkaitan perlu dipertingkat bagi memastikan kelancaran setiap program.

"JPJ Terengganu mengambil serius kenyataan Ketua Pengarah Datuk Aedy Fadly Ramli berhubung aduan masyarakat terhadap segelintir peserta RXZ Members 8.0 yang menunggang secara tidak selamat, sekali gus menyebabkan kesesakan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Oleh itu, JPJ Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko, khususnya terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, pengubahsuaian yang tidak mematuhi spesifikasi serta tindakan menunggang secara berbahaya bagi memastikan setiap aktiviti berlangsung dengan selamat," katanya. - Bernama 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved