Lebuh raya Bandar Malaysia-Seri Kembangan dijangka menelan kos RM1.75 bilion

LocalBusiness & Finance
11 Sep 2026 • 9:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebuh raya Bandar Malaysia-Seri Kembangan dijangka menelan kos RM1.75 bilion Image from: Lebuh raya Bandar Malaysia-Seri Kembangan dijangka menelan kos RM1.75 bilion hamden11/09/2026 - 09:22 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Sept – Cadangan Lebuhraya Bandar Malaysia-Seri Kembangan (BSE) yang akan dibangunkan Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH) bersama Pertama Makmur Sdn Bhd dianggarkan menelan kos RM1.75 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LSH berkata, projek sepanjang 8.2 kilometer (km) itu dicadangkan mempunyai tempoh konsesi selama 60 tahun, termasuk empat tahun bagi tempoh pembinaan.

 

Menurut syarikat itu, projek berkenaan dijangka dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman, pinjaman serta aktiviti pengumpulan dana lain.

 

BSE akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh LSH, LSH Infra Sdn Bhd bersama Pertama Makmur menerusi sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki secara sama rata oleh kedua-dua pihak.

 

LSH berkata pihaknya telah menerima surat daripada Kementerian Kerja Raya yang mengesahkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip terhadap pelaksanaan projek lebuh raya berkenaan.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 28 Ogos 2026 mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan pembangunan BSE oleh usaha sama tersebut.

 

lsh

 

Keputusan akhir masih tertakluk pertimbangan kerajaan

Lebuhraya itu akan menghubungkan Bandar Malaysia di selatan Kuala Lumpur dengan Seri Kembangan di Selangor, selain menyediakan hubungan kepada beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Setiawangsa-Pantai, Lebuhraya Maju dan Lebuhraya Utara-Selatan.

 

Cadangan BSE itu dijangka merangkumi empat persimpangan dan tiga tanjakan, sekali gus menyediakan hubungan ke beberapa lebuh raya dan rangkaian jalan utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, SPE, Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Bukit Jalil, MEX, PLUS, Jalan Kuchai Maju, Persiaran Serdang Perdana, Jalan Kuda Emas dan Jalan Serdang Raya.

 

Langkah itu dijangka membantu melancarkan pergerakan trafik di Lembah Klang dan kawasan Greater Kuala Lumpur.

 

Bagaimanapun, LSH berkata kelulusan secara prinsip tersebut masih tertakluk kepada penyelesaian kajian teknikal dan kewangan terperinci, rundingan serta pemeteraian perjanjian konsesi dan semua kelulusan berkaitan.

 

Kajian serta rundingan perjanjian konsesi perlu diselesaikan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh kelulusan secara prinsip itu.

 

Sekiranya tempoh tersebut tidak dipenuhi, cadangan berkenaan akan dirujuk semula kepada Jemaah Menteri untuk pengesahan, katanya.

 

LSH turut menjelaskan kelulusan secara prinsip itu tidak mewajibkan kerajaan meneruskan projek berkenaan. Sebaliknya, kerajaan mempunyai budi bicara untuk menangguhkan, mengubah suai atau membatalkan cadangan tersebut.

 

Mengulas pencapaian tersebut, Pengerusi LSH Capital, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata cadangan BSE merupakan pencapaian transformatif bagi LSH Capital.

 

"Selain mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemain utama dalam sektor pembinaan dan pengurusan fasiliti, konsesi ini akan membolehkan kami membina portfolio infrastruktur jangka panjang yang disokong oleh aliran pendapatan stabil dan berulang.

 

“Dengan penambahan cadangan BSE ke dalam portfolio kami, kami kekal komited untuk memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham, di samping menyumbang secara bermakna kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved