
KANGAR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di media sosial mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi Diraja Perlis berkaitan penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan petang semalam selepas enam laporan diterima polis berhubung hantaran berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda sehingga RM50,000,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu hantaran dimuat naik seorang pengguna Facebook menggunakan nama Mohd Syafeeq yang mempertikaikan pengurniaan pingat kebesaran diterima Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil.
Hantaran asal secara jelas menulis ‘Sekarang faham kenapa kenapa KDU (Ketua Dewan Ulama) Perlis pertahankan pengkhianatan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) di Perlis dan sanggah keputusan Pas Pusat.Jawatan Penyelaras dapat, Pingat Jasa Khianat pun dapat, jarang Ketua Dewan Ulama kejar jawatan dan pangkat.Hanya KDU Perlis sahaja’.
Bagaimanapun, hantaran tersebut kemudian disunting dengan membuang perkataan ‘khianat’ menjadi ‘pingat pun dapat’, sebelum pemerhatian selepas itu mendapati hantaran berkenaan sudah dipadamkan sepenuhnya.
Susulan daripada itu, Ahmad Adnan tampil membuat laporan polis dan menyelar tindakan individu tersebut yang disifatkan sebagai biadab dan sangat keterlaluan.
Kata Ahmad Adnan, Pas tidak pernah sesekali bersetuju dengan kenyataan dikeluarkan menerusi hantaran tersebut yang dilihat tidak menghormati institusi diraja sebagai payung kepada rakyat negeri ini.
Sementara itu, Muhammad berkata, polis memandang serius perkara tersebut kerana melibatkan sensitiviti institusi Diraja Perlis dan boleh menimbulkan salah faham serta menganggu keharmonian masyarakat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak bertindak di luar batasan, melanggari mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada serta cuba mencetuskan provokasi atau menggugat keamanan negara,” katanya.-UTUSAN
The post Polis tahan individu dipercayai hina Raja Perlis appeared first on Utusan Malaysia.






