12 individu disiasat, penyelewengan anak syarikat Felda

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 2:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 12 individu disiasat, penyelewengan anak syarikat Felda

PUTRAJAYA: Seramai 12 individu telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan Felda dan anak syarikatnya Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Mereka yang dipanggil terdiri daripada tiga individu daripada lembaga pengarah FIC, seorang setiausaha FIC, dua individu daripada Bahagian Perundangan FIC, seorang juru nilai.

Turut dipanggil iaitu tiga individu daripada sebuah firma guaman, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur serta seorang pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata,  keterangan kesemua individu berkenaan dirakam susulan pembukaan enam kertas siasatan baharu.

Katanya, kesemua kertas siasatan itu tertumpu kepada isu pembelian dan pengambilalihan aset yang didakwa dilakukan pada harga melebihi nilai penilaian sebenar, sehingga menyebabkan kerugian kepada Felda.

“Siasatan berkenaan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) susulan maklumat yang diterima SPRM pada 24 Ogos lalu.

“Setakat ini, seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan dan dirakam keterangan,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Menurut beliau, enam kertas siasatan itu melibatkan isu pembelian aset oleh Syarikat Tataran Aras Sendiang Berhad yang berpusat di Limbang, Sarawak; pengambilalihan Grand Borneo Hotel, Sabah; serta pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.

Siasatan turut melibatkan penubuhan Felda Wellness Corporation Berhad, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

“Satu kertas siasatan lama berhubung hartanah Park City Grand Plaza juga masih dalam siasatan dan kini melalui proses bantuan perundangan bersama (MLA),” jelasnya.

Dalam pada itu, Abd, Halim memberi bayangan bahawa beberapa tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat selepas proses siasatan awal selesai.

Katanya, tangkapan dijangka bermula awal minggu depan dan akan dilakukan secara berperingkat berdasarkan skop serta perkembangan siasatan.

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan nilai rasuah yang dipercayai terbabit masih belum dapat dikenal pasti kerana siasatan masih di peringkat awal,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Halim berkata, SPRM turut menerima maklumat pada 24 Ogos lalu daripada Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (Perbagi) berhubung kebimbangan mengenai kualiti anak benih sawit serta pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula tanaman sawit di Felda Palong 7.

Jelasnya, Maklumat berkenaan membabitkan program pembangunan yang dilaporkan memberi manfaat kepada kira-kira 450 peneroka termasuk isu berkaitan pembekalan dan penghantaran.

“SPRM memberi jaminan bahawa siasatan terhadap pengurusan FELDA akan dijalankan secara menyeluruh, adil dan profesional berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” jelasnya.

Abd Halim turut meminta semua pihak memberikan ruang secukupnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, selain tidak membuat spekulasi atau andaian yang boleh menjejaskan kelancaran proses berkenaan.

“Langkah itu penting bagi memastikan hak dan kepentingan negara serta individu yang terlibat terus dipelihara, selain menjaga imej dan kredibiliti Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post 12 individu disiasat, penyelewengan anak syarikat Felda appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved