
SEMPORNA: Seramai 12 individu kesemuanya lelaki berumur antara 14 hingga 37 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam penganjuran Pertandingan ‘Ratu Pondan’ dalam Operasi Bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Semporna bersama Polis di Kg Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, di sini.
Operasi itu dijalankan selama empat jam bermula jam 11 malam Khamis hingga jam 3 pagi Jumaat.
Operasi berkenaan diketuai Pegawai Jheains Semporna Mohd Juseph Ahmad Kapala bersama lima pegawainya dengan bantuan 11 anggota polis dari Balai Polis Pulau Bum-Bum.
Mohd Juseph berkata operasi dijalankan hasil kerjasama antara Jheains dan polis bagi menguatkuasakan undang-undang berkaitan. Selain penahanan 12 lelaki yang berpakaian menyerupai wanita, pihaknya turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan acara pertandingan itu.
“Antara barangan dirampas termasuk piala, sijil penyertaan, hamper dan beberapa barangan lain,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata operasi tersebut mencerminkan kerjasama dan komitmen kedua-dua agensi dalam melaksana penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
Sementara itu, di Kunak, seorang lelaki berumur 20an ditahan oleh penguatkuasa Jheains selepas didapati memakai pakaian wanita dan bertudung semasa sedang bekerja di sebuah premis perniagaan di sini pada Jumaat.
Jheains Kunak dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai perilaku dan penampilan individu tersebut di tempat awam.
“Majikan dinasihatkan supaya menjelaskan tatacara pemakaian sesuai di tempat kerja kepada semua kakitangan mereka dan memastikan ia difahami serta dipatuhi,” katanya.






