Wanita edar dadah dipenjara seumur hidup  

LocalPolitics
22 Oct 2025 • 5:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang wanita tanpa dokumen berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi pada Selasa selepas didapati bersalah mengedar 122.97 gram dadah jenis syabu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ismail Brahim memutuskan bahawa Jainah Tatoh bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 11.45 pagi, 14 Jun 2022 di tempat letak kereta berhampiran Dewan Sri Rugading, Taman Sri Rugading, Tuaran.

Mahkamah memerintahkan Jainah menjalani hukuman penjara seumur hidup bersamaan tempoh 30 tahun serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman tersebut.

Jainah seorang peniaga disabitkan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Peguam bela Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali yang mewakili Jainah bersama Nigel Neong Kaning memohon agar mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati terhadap anak guam mereka sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Syazwan berhujah bahawa walaupun berat dadah melebihi ambang ditetapkan dalam Akta Dadah Berbahaya jumlahnya tidak terlalu banyak iaitu hanya 122 gram selain merupakan kesalahan pertama Jainah.

“Dia berusia 49 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Disebabkan statusnya dia telah melalui kehidupan yang amat sukar. Dia juga menghidap kanser payudara dan masih menjalani rawatan,” katanya.

Peguam itu memohon agar hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan adalah selama 20 tahun bermula dari tarikh tangkapan serta memohon agar hukuman sebat tidak dikenakan memandangkan Jainah seorang wanita selaras dengan Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Dana Arabi Wazani pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada orang lain.

TPR Dana berhujah bahawa Jainah disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya dan sangat ketagihan yang terus memusnahkan nyawa, keluarga serta masyarakat.

“Kesalahan ini antara yang paling serius di bawah undang-undang jenayah Malaysia dan membawa hukuman maksimum di bawah Seksyen 39B(2).

“Jumlah dadah sebanyak 122.97 gram adalah lebih dua kali ganda daripada had minimum yang menimbulkan anggapan mengedar. Kuantiti ini jelas menunjukkan perbuatan pengedaran secara komersial dan bukannya untuk kegunaan sendiri.

“Nilai pasaran dadah ini juga menggambarkan tahap serius serta kesan sosial yang meluas. Pengedaran syabu masih menjadi ancaman besar di Sabah di mana tangkapan dan rampasan berkaitan dadah terus meningkat dengan ketara,” katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 kini memberi budi bicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang daripada 12 sebatan kepentingan awam dan elemen pencegahan perlu diutamakan.

“Walaupun hukuman mati tidak lagi mandatori namun tahap keseriusan kesalahan ini dan faktor pemberatnya wajar dikenakan pada tahap tertinggi — iaitu penjara seumur hidup selama 30 tahun bersama 12 sebatan,” katanya.

Dana turut menegaskan bahawa pembelaan Jainah adalah penafian semata-mata berdasarkan dakwaan tidak berasas kononnya dia dijebak yang akhirnya ditolak oleh mahkamah.

“Tiada bukti menunjukkan wujud unsur paksaan, tekanan atau ketidakwarasan mental. Tindakan tertuduh membuang beg plastik ketika didekati polis menunjukkan kesedaran jelas terhadap kesalahannya dan bukan tanda tidak bersalah.

“Selain itu tertuduh tidak menunjukkan sebarang rasa kesal, penyesalan atau tanggungjawab atas perbuatannya,” katanya.

Sepanjang perbicaraan lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan.