26 PTI ditahan dalam operasi di Kunak, Lahad Datu

20 Oct 2025 • 4:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Seramai 26 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan susulan pelaksanaan Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip di Lahad Datu dan Kunak pada 14 hingga 15 Oktober lalu.

Operasi berkenaan bertujuan membanteras kehadiran PTI serta memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63.

Jabatan Imigresen Sabah dalam kenyataan berkata dalam operasi pertama pada 14 Oktober lalu, pasukan itu memeriksa sebuah premis di Kunak dan menahan seorang warga Filipina yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah. Pada 15 Oktober, Ops Sapu dilaksanakan di beberapa penempatan di Kunak.

Sebanyak 93 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 11 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ditahan.

Pada hari sama, Jabatan Imigresen Lahad Datu turut melaksanakan Ops Sapu dan Ops Kutip di beberapa kawasan penempatan di daerah itu.

Sebanyak 55 individu diperiksa dan 14 warga Filipina terdiri daripada sembilan lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jabatan itu berkata operasi terbabit merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi membendung kehadiran PTI di negeri ini. Jabatan itu turut menyeru orang awam supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PTI di kawasan masing-masing agar tindakan segera dapat diambil.

Jabatan Imigresen Sabah juga menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.