
KULAI – Hasrat seorang lelaki untuk meneruskan perjalanan dari Kulai ke Johor Bahru bertukar tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam sungai di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru–Air Hitam, arah Johor Bahru, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 pagi itu, mangsa, lelaki tempatan berusia 31 tahun, dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut daripada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kulai menuju Johor Bahru dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri. Mangsa kemudiannya terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba dan penyelamat kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa serta motosikal yang terlibat dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kulai di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut, motosikal terbabas masuk sungai appeared first on Kosmo Digital.






