
PETALING JAYA: Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.40 malam apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis ketika serbuan dilakukan.
Katanya, pasukan serbuan kemudian membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga kedua-dua suspek meninggal dunia.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek. Dua mangsa yang diselamatkan masing-masing lelaki warga asing berusia 70-an dan wanita warga asing berusia 30-an.
“Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan mata tertutup dan tangan bergari ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kumar berkata, dua pucuk pistol semi automatik jenis Baretta yang mengandungi lima butir peluru dan sebuah revolver mengandungi empat butir peluru bersama sebilah parang panjang turut ditemukan berhampiran suspek.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan,” katanya.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis menahan enam individu seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing dan seorang wanita warga asing.
Katanya, kesemua mereka berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kegiatan penculikan berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, satu sidang media berkaitan insiden berkenaan akan diadakan pada 10 Ogos ini. – UTUSAN
The post Kes culik: Dua suspek warga asing maut ditembak, enam ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






