13 kedai separuh kayu di Serdang musnah terbakar

31 Oct 2022 • 9:11 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Api berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. - Foto Bomba Selangor.

image is not available
13 buah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Pasar, Pekan Baru Serdang, Serdang. - Foto Bomba Selangor

SERDANG - Sebanyak 13 buah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Pasar, Pekan Baru Serdang, di sini, awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, tiga buah jentera, tangki air, dan anggota dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn, Bangi dan Seksyen 7 dikerah ke lokasi sejurus menerima laporan pada jam 4.15 pagi.

"Kebakaran melibatkan bangunan kedai berukuran 1.85 x 3.71 meter persegi terbakar 70 peratus.

"Api merebak melibatkan 13 buah kedai separuh papan dan berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, antara kedai yang musnah termasuk sebuah kedai perkakasan, bengkel motosikal, bengkel kereta, klinik, kedai serbaneka 24 jam, dan dua buah kedai emas.

Katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran terbabit.