
kUALA LUMPUR – Sebuah keluarga di Pahang mencuri perhatian ramai selepas tindakan berani mereka menahan kenderaan Sultan Pahang bagi menyuarakan masalah rumah yang didakwa sudah 13 tahun tidak menerima bekalan elektrik.
Menerusi video yang tular di TikTok milik @muhammadramadhan9602, keluarga berkenaan dilihat mengambil peluang bertemu baginda untuk meluahkan kesukaran yang dihadapi selepas pelbagai permohonan sebelum ini didakwa masih belum menerima tindakan.
Menurut individu terbabit, mereka sudah lama memohon supaya bekalan elektrik disalurkan ke rumah mereka, namun sehingga kini masih belum menerima penyelesaian walaupun penantian sudah berlarutan lebih sedekad.
Menjawab pertanyaan netizen di ruangan komen mengenai lokasi kediaman mereka, pemilik video memaklumkan bahawa keluarganya menetap di Ulu Tembeling, kawasan pedalaman di atas dari Kuala Tahan, Pahang.
Permohonan Diluluskan Pada Hari Yang Sama
Bagaimanapun, perkara itu dikatakan mendapat perhatian segera daripada Sultan Pahang sebaik sahaja aduan tersebut disampaikan.
Berdasarkan perkongsian berkenaan, permintaan keluarga itu difahamkan diluluskan pada hari yang sama dan kini hanya menunggu proses penghantaran tiang meter sebelum bekalan elektrik dapat disalurkan.
“Alhamdulillah… hari yang sama lulus… tunggu hantar tiang meter je lagi,” tulis pemilik video.
Lebih menyentuh hati, video tersebut turut memaparkan reaksi keluarga berkenaan yang dilihat sangat terharu dan sebak apabila dimaklumkan rumah mereka bakal menerima bekalan elektrik selepas sekian lama menunggu.
Netizen Turut Tersentuh Dengan Perjuangan Keluarga
Di ruangan komen, ramai netizen turut meluahkan rasa tersentuh dengan penantian panjang yang terpaksa dilalui keluarga itu. Ada yang mengakui rasa sebak memikirkan bagaimana mereka mampu bertahan selama 13 tahun tanpa kemudahan asas seperti elektrik.
Seorang pengguna menulis bahawa tempoh 13 tahun bukan sesuatu yang singkat dan membayangkan keluarga itu pasti sudah berkali-kali mencuba mendapatkan bantuan sebelum ini. Dalam masa sama, ramai turut mendoakan agar segala urusan mereka selepas ini dipermudahkan.
Tidak kurang juga yang berkongsi mereka pada awalnya menyangka Sultan Pahang berhenti untuk memberi sokongan kepada individu tersebut yang berniaga di tepi jalan, sebelum mengetahui tujuan sebenar keluarga itu menahan kenderaan baginda adalah untuk mengadu mengenai keadaan rumah mereka yang sudah bertahun-tahun tanpa bekalan elektrik.
Ada juga yang mengingatkan bahawa ramai antara kita mudah merungut apabila berdepan ketidakselesaan seketika, sedangkan keluarga itu mampu bertahan begitu lama tanpa kemudahan yang dianggap biasa oleh kebanyakan orang.
Perkongsian tersebut sekali lagi membuka mata ramai tentang nilai sebuah keprihatinan dan betapa besarnya makna sesuatu yang mungkin kelihatan kecil bagi orang lain. – The Malaysian Update
The post 13 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Tindakan Berani Keluarga Tahan Kenderaan Sultan Pahang Akhirnya Bawa Sinar appeared first on The Malaysian Update.
