'Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap.' 13 tahun bergelap, lelaki nekad tahan kenderaan Sultan Pahang

20 May 2026 • 11:07 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap.' 13 tahun bergelap, lelaki nekad tahan kenderaan Sultan Pahang

SEORANG lelaki di Jerantut Pahang tular susulan tindakan nekadnya menahan kenderaan dinaiki Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meminta bantuan bekalan elektrik.

Pengguna TikTok dikenali sebagai Muhammad Ramadhan menerusi video menahan kenderaan pacuan empat roda dinaiki Paduka Baginda sambil memegang plakad tertulis 'Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap.'

Memetik laporan portal berita tempatan, tindakan pemuda dari Kampung Kuala Sat Ulu Tembeling, Jerantut Pahang itu adalah untuk mendapatkan bekalan elektrik bagi kediamannya selepas 13 tahun menanti.

Usahanya membuahkan hasil apabila Al-Sultan Abdullah dan konvoinya berhenti dan memberikan peluang buat Muhammad Ramadhan menyuarakan masalahnya kepada baginda.

Image from: 'Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap.' 13 tahun bergelap, lelaki nekad tahan kenderaan Sultan Pahang

Difahamkan, lelaki berkenaan bersama isteri dan anak menunggu sejak 6.30 pagi selepas mengetahui keberangkatan Al-Sultan Abdullah menghadiri program dan merasmikan sebuah masjid di kampung Orang Asli.

"Sejak malam lagi saya sudah bersedia dengan tulis ayat berkenaan di atas papan.

"Keesokannya, saya sanggup tutup warung kerana nak bersedia tunggu kenderaan yang membawa Tuanku di tepi jalan," katanya dipetik daripada Harian Metro.

Selepas kira-kira tiga tiga jam menunggu, pukul 10 pagi, kenderaan membawa baginda berhenti.

Difahamkan, selepas pertemuan selama 20 minit, pada hari yang sama tiang elektrik sudah tiba dan difahamkan, bekalan akan disambungkan dalam waktu terdekat.

"Insya-ALLAH tiang pun sudah sampai. Tunggu pacak tiang sahaja dalam masa terdekat.

"Menjunjung kasih Tuangku, Ampun Tuanku.

"Terima kasih juga kepada Tenaga Nasional Berhad kerana menjalankan tanggungjawab.

"Terima kasih kepada yang terlibat. Jangan kita salahkan mana-mana pihak," titipnya.

Image from: 'Ampun Tuanku, mohon berhenti sekejap.' 13 tahun bergelap, lelaki nekad tahan kenderaan Sultan Pahang

Muhammad Ramadhan yang merupakan pengusaha warung dan bengkel motosikal sangat gembira dan bersyukur serta menyifatkan Al-Sultan Abdullah berjiwa rakyat.

Mereka sekeluarga sebelum ini hanya bergantung dengan bateri lori yang disambung dengan panel solar untuk menerangi rumah.

Bekalan elektrik yang terhasil itu bagaimanapun tidak membantu kerana ia boleh digunakan untuk mengecas telefon dan tidak dapat beli perkakas elektrik seperti peti ais juga kipas.

Jelas Muhammad Ramadhan, dia terdahulu telah mengemukakan permohonan kepada pihak kontraktor dan pejabat daerah sekitar Oktober 2025.

Namun, permohonan berkenaan bermasalah untuk luluskan kerana jarak rumah ke tiang elektrik sedia ada agak jauh iaitu dalam satu kilometer.

Pemuda berusia 30 tahun itu bagaimanapun memohon agar tidak menuding jari atau mengecam mana-mana pihak.

"Cuma saya minta jasa baik orang ramai tidak menyalahkan mana-mana pihak selepas menonton video saya kongsikan kerana saya percaya, mereka sudah melakukan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, video Muhammad Ramadhan sekeluarga menahan kenderaan Sultan Pahang berdurasi lima minit 41 saat yang dimuat naik di laman sosial Tiktok menerima hampir 70,000 tanda suka dan 1.3 juta kali tontonan.

Sumber: Harian Metro