
KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 projek mega di Sabah membabitkan pembinaan jalan luar bandar, hospital dan sekolah didakwa terpaksa dibatalkan selepas peruntukan berkaitan tidak disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan berkata, perkara itu akhirnya memberi kesan kepada rakyat Sabah khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Dukacita dimaklumkan, saya difahamkan 14 projek mega di Sabah terutama pembinaan jalan luar bandar, hospital dan sekolah di bawah KKDW terpaksa dibatalkan kerana peruntukan tidak disalurkan kepada KKDW.
“Kita faham perasaan Presiden kita (Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Bagaimana kementerian boleh berbelanja melebihi peruntukan seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, betul tak?
“Bayangkan siapa yang rugi? Rakyat Sabah,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO.
Menurutnya, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana sebarang kelewatan atau pembatalan projek pembangunan akan memberi kesan langsung kepada rakyat terutama di kawasan pedalaman.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menggesa kerajaan menyegerakan penyaluran peruntukan yang sudah diluluskan kepada KKDW bagi menangani masalah kelewatan pembayaran yang serius dihadapi kontraktor.
Timbalan Perdana Menteri itu turut membangkitkan isu penjajaran semula dana kerajaan serta pelaksanaan inisiatif di luar bajet yang didakwa menjejaskan program pembangunan dirancang selain memberi kesan kepada kontraktor.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menafikan dakwaan bahawa dana KKDW ditahan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kelewatan pembayaran berlaku kerana KKDW hampir menghabiskan peruntukan tahunannya.
Setakat Jun lalu, KKDW dilaporkan sudah membelanjakan RM1.9 bilion daripada RM2.1 bilion peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar untuk tahun ini.
Johan berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta turut diluluskan bagi membantu menyelesaikan tunggakan pembayaran berkenaan. – UTUSAN
The post 14 projek mega Sabah didakwa batal akibat peruntukan disekat appeared first on Utusan Malaysia.






