
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi diesel dan petrol bersasar bagi didakwa membebankan rakyat Sabah, khususnya golongan yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki.
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan berkata, Sabah merupakan antara negeri dengan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi berikutan faktor geografi serta keperluan perjalanan jarak jauh.
Katanya, kesan pelaksanaan subsidi bersasar itu turut dirasai pelbagai golongan termasuk petani, nelayan, usahawan desa, pekebun kecil, peniaga kecil dan kontraktor.
“Selain keadaan jalan raya yang masih belum sempurna, rakyat Sabah lebih banyak menggunakan kenderaan yang menggunakan diesel.Rakyat Sabah turut dikenakan kuota subsidi bersasar. Alasan pelaksanaan subsidi bersasar adalah untuk membanteras ketirisan minyak.
“Masalahnya, golongan yang menyeludup minyak atau bukan warganegara itu hanya sebilangan kecil, sedangkan sebahagian besar yang terkesan ialah rakyat Sabah sendiri, khususnya orang biasa.
“Justeru, saya mewakili UMNO Sabah dan rakyat Sabah mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem subsidi bersasar ini dihapuskan. Kita tidak mahu lagi kuota-kuota seperti ini kerana ia benar-benar menyusahkan rakyat,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 hari ini.
Azuwan berkata, syarat ditetapkan untuk mendapatkan kuota berkenaan turut menimbulkan kesukaran, terutama kepada mereka yang menggunakan kenderaan diesel untuk mencari rezeki tetapi tidak memiliki atau mendaftarkan kenderaan berkenaan atas nama sendiri.
Beliau berkata, golongan petani antara yang paling terkesan apabila kos mengusahakan sawah meningkat hampir dua kali ganda berikutan kenaikan harga diesel.
“Sebelum kenaikan harga diesel, kos mengusahakan satu ekar sawah bagi satu musim adalah sekitar RM500 hingga RM600.
“Hari ini, kos itu meningkat kepada RM1,100 hingga RM1,200 bagi satu ekar untuk satu musim, iaitu hampir dua kali ganda,” katanya.
Menurut Azuwan, peningkatan kos berkenaan menyebabkan ada petani tidak lagi sanggup mengusahakan sawah kerana usaha selama empat bulan dilihat tidak lagi berbaloi.
“Apa lagi yang tinggal untuk petani makan? Sehinggakan ada dalam kalangan petani yang sudah tidak sanggup mengusahakan sawah kerana merasakan usaha selama empat bulan itu tidak lagi berbaloi.
“Inilah realiti yang dihadapi rakyat Sabah dan perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN
The post Subsidi bersasar diesel, petrol bebankan rakyat Sabah appeared first on Utusan Malaysia.





