Sebanyak 14 projek mega di Sabah membabitkan pembinaan jalan luar bandar, hospital dan sekolah didakwa terpaksa dibatalkan selepas peruntukan berkaitan tidak disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Beri kesan kepada rakyat Sabah
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan menyatakan, perkara itu akhirnya memberi kesan kepada rakyat Sabah khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Dukacita dimaklumkan, saya difahamkan 14 projek mega di Sabah terutamanya pembinaan jalan luar bandar, hospital dan sekolah di bawah KKDW terpaksa dibatalkan kerana peruntukan tidak disalurkan kepada KKDW.
“Kita faham perasaan Presiden kita (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Bagaimana kementerian boleh berbelanja melebihi peruntukan seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, betul tak?
“Bayangkan siapa yang rugi – rakyat Sabah,” katanya ketika menyampaikan perbahasan di PAU 2026, di WTCKL.

Gesa kerajaan segerakan penyaluran peruntukan
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa kerajaan menyegerakan penyaluran peruntukan diluluskan bagi menangani kelewatan pembayaran yang dihadapi kontraktor.
Walau bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menafikan dana kementerian berkenaan ditahan, sebaliknya menjelaskan kelewatan berlaku selepas kementerian hampir menghabiskan peruntukan tahunannya.
Dalam pada itu, Azuwan turut mendesak semua peruntukan tertunggak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan segera.
“Semalam, ‘Guru’ datang ke Sabah dan mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
“Namun saya difahamkan tiada kata putus atau penyelesaian konkrit dicapai daripada perbincangan itu.
“Insya-Allah, jika ditakdirkan UMNO dan BN memimpin kerajaan di Putrajaya di bawah kepimpinan Presiden kita, insya-Allah kita mesti selesaikan MA63,” katanya.
Azuwan berkata, Ahmad Zahid turut konsisten berikrar melaksanakan peruntukan tertunggak MA63 sekiranya BN kembali memerintah.
Selain itu, beliau mendesak kerajaan memansuhkan sistem subsidi diesel bersasar Budi Madani kerana kuota 400 liter sebulan disifatkan tidak mencukupi bagi penduduk Sabah.
“Ia meningkat hampir dua kali ganda. Bagaimana petani mahu meneruskan kelangsungan hidup?
“Sehinggakan ada petani yang tidak lagi mampu mengusahakan sawah mereka kerana merasakan titik peluh selama empat bulan tidak berbaloi,” katanya.





