
KUALA NERUS: Sebanyak 14 projek pembangunan dan pengurusan aset institusi pendidikan di Terengganu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual (AOT) dengan tempoh keseluruhan 986 hari.
Projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) itu membabitkan empat program dengan nilai keseluruhan kos kontrak berjumlah RM34.03 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, empat program berkenaan ialah Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) sebanyak tiga projek, Modular Sistem Binaan Berindustri (dua projek), Bilik Darjah Tambahan (tiga projek) dan operasi senggara pemulihan, pemuliharaan, ubahsuai dan naik taraf (OSPPUN) sebanyak enam projek.
“Daripada jumlah itu, projek DSTB berjaya disiapkan 145 hari lebih awal manakala Modular IBS mencatatkan 171 hari, Bilik Darjah Tambahan sebanyak 290 hari dan OSPPUN sebanyak 380 hari lebih awal.
“Pencapaian berkenaan mencerminkan keupayaan JKR Terengganu mempercepat pelaksanaan projek pendidikan tanpa menunggu tempoh kontrak berakhir, sekali gus membolehkan kemudahan berkenaan digunakan lebih awal oleh warga sekolah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu kepada Kementerian Pendidikan yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Tok Jembal di sini, hari ini.
Ahmad berkata, bagi program DSTB, tiga sekolah terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar dan SK Padang Midin.
“Program Modular IBS pula membabitkan SK Seri Budiman 2 dan SK Sura manakala projek Bilik Darjah Tambahan melibatkan SK Durian Mas, SK Kampong Tengah dan SK Banggol Peradong. Projek di bawah program OSPPUN melibatkan SK Pak II, SK Padang Pulut, SMK Bukit Besi, SK Jerangau, SK Sungai Tong dan SMK Pelegat,” katanya. – UTUSAN
The post 14 projek pendidikan di Terengganu siap mendahului jadual appeared first on Utusan Malaysia.






