johardy12/08/2026 - 14:42 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com JOHOR BAHRU 12 Ogos - Johor memberi amaran keras kepada pemaju perumahan supaya menyiapkan rumah mampu milik mengikut jadual atau berdepan risiko kelulusan projek dibatalkan, ketika kerajaan negeri bertindak menghalang pemaju daripada mengutamakan projek perumahan pasaran terbuka yang lebih menguntungkan sambil melengahkan komitmen kepada pembeli berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pemaju tidak akan dibenarkan meneruskan projek pasaran terbuka sedangkan komitmen membina unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) masih belum ditunaikan.
“Perumahan pasaran terbuka dan RMMJ mesti bergerak seiring. Kita tidak mahu komponen komersial bergerak jauh ke hadapan sedangkan rumah mampu milik terus tertangguh,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Penilaian dan Reka Bentuk Perumahan (PDRC) kali ketiga bagi 2026 pada Selasa.
Jafni berkata, komitmen membina RMMJ merupakan tanggungjawab kepada rakyat dan bukan sekadar angka dalam pelan pembangunan, justeru pemaju perlu mematuhi tempoh masa yang dipersetujui atau berdepan tindakan tegas.
Jawatankuasa itu telah mengadakan 37 sesi PDRC melibatkan kesemua 10 daerah, 16 pihak berkuasa tempatan, 152 pemaju dan 190 projek, dengan komitmen keseluruhan 45,575 unit rumah yang disasarkan siap menjelang 2030.
Mesyuarat terbaharu meneliti pembangunan di Johor Bahru, Kulai dan Mersing, termasuk perubahan susun atur, penyediaan dan pemindahan unit RMMJ serta pematuhan terhadap dasar perumahan mampu milik negeri.

Rumah mampu milik tidak boleh terus ketinggalan
Jafni berkata, bagi satu permohonan, pemaju diarahkan membina terlebih dahulu 394 unit RMMJ memandangkan pembinaan komponen pasaran terbuka telah pun dimulakan.
“Komitmen RMMJ adalah amanah dan tanggungjawab kepada rakyat, bukan sekadar angka dalam pelan pembangunan. Garis masa mesti jelas, pematuhan dipantau dan tindakan susulan mesti dilaksanakan dengan tegas,” katanya.
Pemaju juga perlu melengkapkan permohonan dengan agensi berkaitan dalam tempoh yang dipersetujui, dengan kegagalan memenuhi tarikh akhir berpotensi menyebabkan kelulusan dibatalkan.
Jafni berkata, pemaju akan dipantau secara dekat bagi memastikan komitmen diterjemahkan kepada pembinaan sebenar sehingga kunci rumah diserahkan kepada pembeli. PDRC juga akan meneliti kemudahan komuniti bagi memastikan pembangunan RMMJ menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa didiami.
“Rumah mampu milik bukan sekadar empat dinding dan bumbung. Rumah mesti mempunyai akses yang baik, persekitaran selamat, kemudahan komuniti mencukupi serta harga yang mencerminkan kemampuan rakyat,” katanya.
Johor menyasarkan 30,000 unit RMMJ untuk isi rumah B40 dan M40 menjelang akhir 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030. “Apa yang diluluskan mesti dilaksanakan, apa yang dijanjikan mesti ditunaikan dan apa yang menjadi hak rakyat mesti dipertahankan,” kata Jafni. - DagangNews.com






