14 tahun simpan barang kontraban terbongkar, RM5.9 juta dirampas

14 Aug 2026 • 1:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 14 tahun simpan barang kontraban terbongkar, RM5.9 juta dirampas

PETALING JAYA – Sebuah gudang penyimpanan dan pengedaran barangan kontraban yang dipercayai sudah beroperasi selama 14 tahun akhirnya terbongkar menerusi serbuan Op Taring Alpha di sebuah premis di Kampung Sungai Serdang, Kapar, Selangor, di sini, semalam.

Operasi kira-kira pukul 12.10 tengah hari itu dijalankan menerusi Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Komander WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, hasil serbuan menahan tiga individu terdiri daripada dua warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja gudang serta seorang lelaki tempatan yang merupakan pengarah syarikat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan sementara serta hab pengumpulan produk dari China sebelum diedarkan ke lokasi lain di seluruh negara.

“Siasatan awal mendapati premis gudang tersebut dipercayai telah beroperasi selama lebih kurang 14 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaki berkata, antara barangan yang dirampas dan disita ialah 32,200 batang rokok pelbagai jenama yang tidak bercukai kastam dengan nilai rampasan dianggarkan RM304,612.

Katanya, turut dirampas 149 kotak minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM129,914 selain 167,526 kotak produk makanan China yang dianggarkan bernilai RM3.9 juta.

“Pihak berkuasa menyita pelbagai produk kosmetik serta kesihatan China dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.547 juta. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM5,901,526,” ujarnya.

Katanya, Kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai kastam.

“Dua warga Bangladesh berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c)/ 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Kes turut disiasat mengikut Akta Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Makanan 2009 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaki berkata, pihaknya telah melancarkan sebanyak 234 serbuan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 14 Ogos lalu.

Jelasnya, seramai 409 individu berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, hidupan liar serta operasi berkaitan e-waste dengan nilai rampasan dianggarkan RM311,031,676.

“PDRM akan terus mempergiat operasi bersepadu, memperkukuh kerjasama antara agensi serta memperluaskan perkongsian risikan bagi memastikan setiap rangkaian sindiket ditumpaskan dan dibawa ke muka pengadilan.

“Tiada ruang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar mahupun jenayah rentas sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 14 tahun simpan barang kontraban terbongkar, RM5.9 juta dirampas appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved