SEBAIK berita pendaki, Jaslinda Saludin ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih tersebar, seluruh negara menarik nafas lega kerana ramai yang berhari-hari mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.
Namun di sebalik kelegaan tersebut, timbul pula persepsi dalam kalangan segelintir masyarakat yang meremehkan operasi SAR apabila melihat dari sudut mangsa sendiri yang berjaya keluar daripada hutan, bukannya ditemui oleh pasukan penyelamat.
Penilaian sedemikian mudah ditulis di media sosial tetapi tidak menggambarkan realiti sebenar anggota SAR yang berganding bahu tanpa mengenal erti penat di kawasan hutan belantara.
Lebih 116 sumber manusia terlibat antaranya Batalion 3 PGA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, Perhilitan, badan bukan kerajaan (NGO), malim gunung dan sukarelawan termasuk Orang Asli.
Meskipun berdepan cabaran keadaan muka bumi, cuaca hujan dan suhu sejuk pada waktu malam, semangat serta komitmen pasukan SAR tidak pernah luntur meneruskan pencarian dengan petunjuk terhad.
Operasi SAR tidak semudah gambaran yang sering dilihat dalam filem atau ulasan netizen di media sosial.
Mereka berdepan pelbagai ketidaktentuan dan tanpa jaminan masa, malah tiada teknologi yang mampu menggantikan sepenuhnya keupayaan manusia membaca keadaan hutan yang kompleks.
Setiap kawasan pencarian memerlukan strategi berbeza, bergantung kepada cuaca, bentuk muka bumi dan kemungkinan pergerakan mangsa.
Dalam kes Jaslinda, setiap hari yang berlalu tanpa petunjuk baharu bukanlah ukuran kegagalan anggota SAR, sebaliknya mencerminkan cabaran besar dihadapi dan pencarian tetap diteruskan walau semakin banyak ketidakpastian.
Lebih penting, kejayaan sesebuah operasi SAR tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan siapa yang menemui mangsa terlebih dahulu.
Kejayaan sebenar ialah apabila mangsa akhirnya selamat dan dapat kembali ke pangkuan keluarga.
Operasi SAR juga bukan medan pertandingan sebaliknya manifestasi kerjasama pelbagai pihak yang bersatu atas satu matlamat yang sama iaitu menyelamatkan nyawa manusia tanpa mengira siapa.





