Kes kehilangan Jaslinda: Polis rakam keterangan 36 individu

12 Jun 2026 • 1:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes kehilangan Jaslinda: Polis rakam keterangan 36 individu
Kesemua individu yang telah diambil keterangan termasuk Jaslinda. Foto fail Bernama

IPOH - Polis telah merakam keterangan 36 individu berhubung kehilangan pendaki wanita Jaslinda Saludin yang ditemukan selamat pada Sabtu lepas, setelah 14 hari dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Gunung Batu Putih, dekat Tapah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua individu yang telah diambil keterangan, termasuk Jaslinda dan suaminya, Haszman Othman, 61, serta rakan-rakan yang terlibat dengan aktiviti pendakian berkenaan.

Beliau berkata, turut diambil keterangan ialah individu yang terlibat memuat naik kandungan berunsur fitnah terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh berkaitan penemuan Jaslinda.

"Lelaki itu telah direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes fitnah terbabit.

"Kes membabitkan Jaslinda disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil  Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.

Sabtu lepas, Jaslinda, 49, ditemukan selamat oleh penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei ketika mendaki Gunung Batu Putih.

Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Siasatan/Perundangan), Superintenden Mohd Ridzuan Nor Ihsan memangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak menggantikan Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah yang bersara wajib pada 18 Jun depan.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved