
Selepas 15 tahun menyimpan impian untuk menimang cahaya mata, pelawak dan pelakon, Achey bersama isterinya, Anne akhirnya menerima khabar gembira apabila disahkan hamil menerusi rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Berita penuh bermakna itu dikongsikan Anne menerusi satu hantaran di Threads yang memaparkan detik menyentuh hati ketika mereka menerima keputusan positif daripada doktor di ALHAYA Fertility Centre.
Menerusi rakaman berkenaan, Anne dilihat seakan-akan sukar mempercayai berita yang disampaikan doktor sehingga bertanya sekali lagi bagi mendapatkan kepastian mengenai keputusan tersebut.
Suasana bertukar sebak apabila pasangan itu tidak dapat menahan air mata kegembiraan, malah Achey turut melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang sekian lama dinantikan.
Dalam hantaran sama, Anne meluahkan rasa syukur selepas melalui perjalanan panjang yang penuh dengan harapan, doa dan pelbagai ujian sepanjang 15 tahun penantian mereka.
“Bukan sehari dua kami menunggu. Bukan setahun dua kami berharap. Tetapi selama 15 tahun, kami menyimpan impian yang sama.
“Ada doa yang tidak pernah putus walaupun berkali-kali diuji. Perjalanan ini bukan mudah, tetapi kami percaya setiap yang Allah aturkan pasti ada hikmahnya,” tulisnya.
Anne turut menyifatkan berita kehamilan itu sebagai anugerah terindah selepas sekian lama mereka mengharapkan kehadiran cahaya mata dalam kehidupan berumah tangga.
“Sehinggalah Allah hadirkan satu berita yang selama ini kami impikan. Alhamdulillah… kami bakal menimang cahaya mata. Akhirnya Allah izinkan,” katanya.
The post ’15 tahun menanti, akhirnya Allah izinkan’ – Isteri Achey kongsi berita hamil appeared first on The Reporter.






