16 bekas tentera mula galas tugas warden MRSM - Asyraf Wajdi

LocalPolitics
1 Jul 2026 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 16 bekas tentera mula galas tugas warden MRSM - Asyraf Wajdi
Mara chairman Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Seramai 16 bekas anggota tentera mula melaporkan diri sebagai warden lelaki di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan inisiatif baharu MARA bagi memperkukuh keselamatan, kebajikan dan disiplin pelajar di institusi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua mereka mula bertugas Isnin lalu dengan menghadiri sesi taklimat dan pengenalan bersama pihak pengurusan maktab.

Menurutnya, seramai 16 lagi warden wanita daripada kalangan bekas tentera akan menyusul minggu hadapan.

"Mereka diwajibkan menghadiri sesi orientasi dan pengenalan maktab yang dikendalikan oleh pengetua MRSM terlibat.

"Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan awal berkaitan struktur pengurusan maktab, peraturan serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh para warden," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata, setiap MRSM yang terlibat diperuntukkan empat warden sepenuh masa, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Katanya, fasa pertama melibatkan 10 MRSM iaitu MRSM Besut, Balik Pulau, Muadzam Shah Rompin, Sultan Azlan Shah, Serting, Kubang Pasu, Jeli, Parit, Kuala Berang dan Muar.

Menurut Asyraf, inisiatif itu akan diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.

Beliau berharap bekas anggota tentera yang dilantik dapat menggalas amanah dengan penuh dedikasi dalam membantu pihak pengurusan maktab menjaga kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar.

"Moga-moga hasrat kita untuk menyaksikan MRSM bebas dan sifar buli akan menjadi kenyataan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved