
KUALA LUMPUR - Empat daripada enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor dibuang sekolah selepas didapati bersalah membuli pelajar junior.
Dua lagi pelajar digantung persekolahan sementara menunggu siasatan lanjut pihak polis.
Keputusan itu disahkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, selepas mesyuarat Jawatankuasa Disiplin MRSM (JD MRSM) hari ini.
Beliau berkata, keputusan membuang sekolah empat pelajar berkenaan dibuat selepas beberapa amaran diberikan sebelum ini, sekali gus mencerminkan ketegasan terhadap kesalahan yang dilakukan.
"Allah sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam orang pelajar diambil oleh ibubapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli.
“Namun, amaran berulang kali diberikan #YouTouchYouGo,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Jelas Asyraf, kedua-dua pelajar yang digantung akan terus dikenakan penggantungan sehingga siasatan polis selesai bagi menentukan sama ada mereka benar-benar terbabit dalam perlakuan buli secara fizikal.
Tindakan disiplin itu dibuat susulan arahan terdahulu kepada Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan pihak pengurusan MRSM supaya mengadakan mesyuarat tergempar dalam tempoh 24 jam, bagi menyiasat serta mengambil tindakan terhadap enam pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terlibat dalam kejadian buli di sebuah MRSM di Johor.
Kes berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang ibu berkongsi kebimbangan menerusi platform media sosial Threads, mendakwa anak mereka meminta untuk bertukar sekolah akibat dibuli.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa, enam pelajar Tingkatan Lima direman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bakri bagi membantu siasatan. - Getaran, 1 Julai 2026






