sarah17/11/2026 - 16:27 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Sebanyak 16 kawasan pedalaman Sarawak tidak mempunyai akses pengangkutan alternatif melalui darat atau air susulan penggantungan sementara Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) selepas nahas helikopter pada September lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, sebanyak 85 kawasan secara keseluruhan terjejas akibat penggantungan perkhidmatan itu, termasuk 16 kawasan berkenaan yang tidak mempunyai akses pengangkutan alternatif.
“KKM telah menangguhkan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) bagi membolehkan siasatan serta penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan pengoperasian perkhidmatan dilaksanakan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Parlimen.
KKM menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta penjelasan mengenai jumlah kawasan terjejas, kemudahan alternatif disediakan serta tempoh maksimum bagi pesakit mendapatkan rawatan sekiranya berlaku kecemasan.
Utamakan kawasan berisiko tinggi
Bagi mengurangkan kesan terhadap penduduk, KKM mengambil beberapa langkah termasuk mengoptimumkan laluan darat dan air serta mengaktifkan mekanisme rujukan dan pengangkutan alternatif bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diteruskan.
Menurut kementerian itu, keutamaan diberikan kepada kawasan berdasarkan tahap risiko klinikal pesakit, kedudukan kawasan yang terpencil serta ketersediaan akses pengangkutan alternatif.
“Sepanjang tempoh penggantungan sementara operasi Perkhidmatan Doktor Udara (PDU), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan setiap kes kecemasan diberikan tindakan segera berdasarkan tahap keutamaan klinikal pesakit melalui perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) atau mod pengangkutan alternatif yang bersesuaian,” menurut KKM.
Kementerian itu turut bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain bagi membantu pengendalian kes kecemasan, dengan mengambil kira keadaan cuaca, laluan, ketersediaan aset dan keselamatan operasi.
Bagaimanapun, KKM tidak menyatakan tempoh maksimum khusus bagi seseorang pesakit mendapatkan rawatan kecemasan, sebaliknya menegaskan setiap kes akan diberikan tindakan segera mengikut tahap keutamaan klinikal.
Pada 8 September lalu, sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dan seorang pegawai perubatan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) Long Lellang di Sarawak.- DagangNews.com






