sarah11/11/2026 - 16:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Syarikat tempatan dan pembekal di Sarawak berpeluang meningkatkan penyertaan dalam projek transformasi industri negeri itu menerusi akses kepada pembiayaan, modal kerja serta kerjasama dengan pelabur antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong berkata, Sarawak mempunyai kelebihan daripada segi sumber tenaga, hala tuju pembangunan yang jelas dan keupayaan industri yang semakin berkembang untuk menarik pelaburan serta memperkukuh penyertaan perniagaan tempatan.
Menurutnya, usaha tersebut memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan institusi kewangan bagi memastikan projek yang dirancang mempunyai asas komersial yang kukuh serta berupaya menarik pembiayaan.
“Melalui Transition Industrial Cluster Sarawak (TIC Sarawak), kami komited menjadikan Sarawak destinasi yang bersedia menerima pelaburan, dengan menghubungkan modal global kepada peluang pelaburan yang berdaya maju dan dirancang dengan baik,” katanya dalam kenyataan.
Akses pembiayaan bantu syarikat tempatan
Peluang penyertaan syarikat tempatan itu antara perkara yang dibincangkan dalam forum Powering Forward: Financing Sarawak’s Industrial Transition di Kuching pada Selasa, yang menghimpunkan lebih 100 pemimpin perniagaan, pegawai kerajaan dan wakil industri.
Forum anjuran InvestSarawak, Standard Chartered dan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) itu meneliti bagaimana pembiayaan perdagangan, kemudahan modal kerja serta pembiayaan mampan boleh membantu pelaksanaan projek transformasi industri, termasuk meningkatkan penyertaan pembekal tempatan.
Perbincangan turut memberi perhatian kepada keperluan menjadikan projek industri lebih berdaya maju dari segi kewangan supaya mampu menarik pelaburan dan dilaksanakan pada skala lebih besar, sekali gus membuka peluang kepada syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan.
AI dan teknologi digital sokong projek rendah karbon
Selain pembiayaan, penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sistem pemantauan masa nyata turut dibincangkan sebagai kaedah membantu industri mengukur serta mengesahkan pengurangan pelepasan karbon, sekali gus meningkatkan keyakinan pihak pembiaya terhadap projek berkaitan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif BMCC, Farhan Zamri berkata, transformasi industri Sarawak menawarkan peluang besar kepada syarikat Britain dan antarabangsa untuk menyumbang kepakaran, teknologi serta pelaburan kepada pembangunan negeri berkenaan.
Beliau berkata, BMCC akan terus membantu menghubungkan perniagaan Sarawak dengan rakan antarabangsa bagi mewujudkan kerjasama yang mampu menghasilkan manfaat ekonomi kepada negeri itu serta syarikat yang terlibat.- DagangNews.com





