sarah17/11/2026 - 16:43 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) kini menawarkan akses penghantaran kargo ke lebih 300 destinasi di lebih 60 negara menerusi kerjasama dengan IAG Cargo dan Qatar Airways Cargo, sekali gus memudahkan perniagaan menghantar barangan ke pasaran antarabangsa melalui satu tempahan.
Kerjasama perniagaan kargo global itu menggabungkan rangkaian tiga pengendali kargo yang merangkumi tujuh syarikat penerbangan, enam hab antarabangsa, lebih 1,000 pesawat serta lebih 35 pesawat khusus pengangkutan kargo.
Menurut kenyataan bersama ketiga-tiga syarikat itu, rangkaian berkenaan memberi pelanggan lebih banyak pilihan laluan penghantaran dan sambungan penerbangan, selain fleksibiliti untuk menguruskan pergerakan kargo merentasi pelbagai pasaran.
Kerjasama yang diumumkan pada 2025 itu dijangka terus berkembang dengan sasaran menyediakan akses kepada lebih 400 destinasi di seluruh dunia apabila penyepaduan rangkaian dan operasi dilaksanakan sepenuhnya.
Permudah akses pengeksport ke pasaran global
Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mark Jason Thomas berkata, kerjasama dengan pengendali kargo antarabangsa membolehkan syarikat meningkatkan kecekapan operasi dan menawarkan perkhidmatan penghantaran yang lebih lancar kepada pelanggan.
“Dengan menyelaraskan proses serta menyelaraskan kapasiti dan pengendalian kargo antara ketiga-tiga pengendali, kami meningkatkan kecekapan dan mengoptimumkan kos, sekali gus menyediakan pilihan laluan lebih fleksibel, sambungan lebih lancar serta perkhidmatan lebih konsisten kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan kerjasama itu akan diukur berdasarkan keupayaannya memudahkan pelanggan menghantar kargo, menembusi pasaran baharu dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Menurut kenyataan itu, pilihan sambungan dan laluan penghantaran baharu mula diperkenalkan pada awal 2026, sebelum ketiga-tiga pengendali berjaya melaksanakan penghantaran pelanggan pertama yang melibatkan keseluruhan rangkaian mereka pada September lalu.
Sasar lebih 400 destinasi
Ketua Pegawai Eksekutif IAG Cargo, David Shepherd berkata, penyelarasan operasi hab, pasukan dan proses kerja antara ketiga-tiga syarikat membuka peluang baharu kepada perdagangan antarabangsa melalui pergerakan kargo yang lebih lancar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kargo Qatar Airways Cargo, Mark Drusch berkata, peluasan rangkaian kepada lebih 400 destinasi akan memberi pelanggan lebih banyak peluang mengembangkan perniagaan dan meningkatkan hubungan dengan pasaran global.
Sebagai latar belakang, MASkargo yang merupakan cabang kargo dan logistik Malaysia Aviation Group (MAG) mengendalikan kemudahan kargo di 11 lapangan terbang seluruh Malaysia, manakala terminal utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mempunyai kapasiti pengendalian sehingga satu juta tan kargo setahun, dengan potensi diperluas kepada tiga juta tan.- DagangNews.com





