“163 Hari Sebelum Pergi…” — Rakaman Suara Jadi Pusaka, Anak Aziz Desa Kongsi Momen Menyentuh Hati

EntertainmentLifestyle
27 Mar 2026 • 9:05 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Siapa tidak kenal dengan pengacara terkenal suatu ketika dahulu, Allahyarham Aziz Desa, figura yang cukup sinonim dengan kelembutan tutur kata dan keperibadian yang disenangi ramai.

Terbaharu, menerusi satu perkongsian di platform Threads, anak beliau, Zhiddin Aziz, menyentuh hati netizen apabila berkongsi satu rakaman suara arwah ayahnya.

Menurut Zhiddin, rakaman tersebut dirakam 163 hari sebelum pemergian bapanya, tanpa disangka ia menjadi “pusaka” paling bernilai buat dirinya hari ini.

“163 hari sebelum ayah saya pergi, sempat terakam suara yang hari ini menjadi pusaka paling bermakna.

Ketika itu, saya berada di sisi sedang mendengar ucapannya, tanpa menyangka itulah antara hela nafas terakhir yang dititipkan dalam bentuk kata.

163 hari sebenarnya lama… tapi tahun itu, singkat sahaja.”

Perkongsian itu pantas meraih perhatian ramai, dengan rata-rata netizen turut berkongsi rasa sebak, rindu dan penghargaan terhadap figura ini.

Ada yang meluahkan rasa bangga sebagai anak Langkawi kerana pernah melihat insan dari kampung sendiri muncul sebagai pengacara di kaca televisyen, malah mendoakan agar Allahyarham terus dirahmati. Tidak kurang juga yang menyentuh tentang keperibadian dan warisan beliau, menyifatkan bakat, tutur kata serta kelembutan itu jelas mengalir kepada anaknya.

Sebahagian netizen turut menganggap Aziz Desa sebagai role model dalam dunia penyiaran, manakala ada yang teruja melihat Zhiddin mewarisi suara dan intonasi yang mirip arwah ayahnya. Malah, ramai yang mengimbau gaya penyampaian Allahyarham yang penuh pengisian, tersusun dan menenangkan, sesuatu yang sukar dicari ganti hari ini.

Bukan Sekadar Pengacara, Tapi Insan Berbudi Tinggi

Secara peribadi, penulis sendiri pernah berpeluang bertemu Allahyarham ketika bertugas di sebuah bank di utara tanah air.

Walaupun sudah terkenal ketika itu, beliau tidak pernah menggunakan statusnya untuk mendapatkan layanan istimewa. Sebaliknya, beliau menunggu giliran dengan sabar seperti orang lain, dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

Itulah peribadi sebenar seorang insan bernama Aziz Desa, dikenang bukan sahaja kerana bakat, tetapi juga kerana akhlak dan kerendahan hatinya.

Sebagai rekod, Aziz Desa merupakan antara pengacara berpengaruh dalam industri penyiaran tempatan suatu ketika dahulu, terkenal dengan gaya penyampaian yang tenang, tersusun dan penuh adab, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Allahyarham turut dikenali sebagai figura yang dekat dengan masyarakat utara tanah air, khususnya Langkawi. Al-Fatihah buat Allahyarham. – The Malaysian Update

The post “163 Hari Sebelum Pergi…” — Rakaman Suara Jadi Pusaka, Anak Aziz Desa Kongsi Momen Menyentuh Hati appeared first on The Malaysian Update.