
PETALING JAYA: Seramai 17 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan di Flat Lembah Jaya, Jalan 3, Lembah Jaya Utara di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.07 pagi tadi.
Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) kemudian diarahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada pergaduhan sedang berlaku, namun terdapat sekumpulan orang awam berkumpul di lokasi. Seramai 17 individu telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata, polis turut mengesan satu hantaran video berkaitan kejadian tersebut yang tular menerusi aplikasi Threads.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, tular di aplikasi Threads mengenai rakaman video yang memperlihatkan sekumpulan lelaki berkumpul dalam jumlah yang ramai di Flat Lembah Jaya, Jalan 3, Lembah Jaya Utara, Ampang.
Rakaman itu turut menunjukkan beberapa individu dilihat mengepung seorang lelaki dalam suasana yang kelihatan tegang di kawasan berkenaan. -UTUSAN
The post 17 ditahan susulan pergaduhan tular di Lembah Jaya appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Kecoh di Threads aksi ‘Polis Evo’ di MEX](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-31-at-8.31.20-PM-1024x607.jpeg)

