
17 individu direman dua hingga tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan selepas video tular himpunan di Flat Lembah Jaya.
KUALA LUMPUR: Polis menahan 17 individu bagi membantu siasatan insiden pergaduhan di kawasan Flat Lembah Jaya, Ampang Jaya, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di Jalan 3, Lembah Jaya Utara itu pada 2.07 pagi.
“Anggota peronda telah diarahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan, bagaimanapun mendapati tiada pergaduhan berlaku.
“Namun, terdapat sekumpulan orang awam berkumpul di lokasi dan bertindak menahan 17 individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khairul Anuar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan semua yang ditahan direman antara dua hingga ke tiga hari.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
Terdahulu tular dua video di media sosial memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan tempat letak kereta flat berkenaan.





