18 warga Taiwan ditahan, sindiket menyamar polis Hong Kong tumpas

31 Oct 2026 • 6:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 18 warga Taiwan ditahan, sindiket menyamar polis Hong Kong tumpas

PETALING JAYA: Seramai 18 warga Taiwan ditahan selepas polis menyerbu dua unit kediaman yang dipercayai dijadikan pusat kegiatan penipuan dalam talian atau ‘calling centre’ di St. Mary Residence, Jalan Tengah, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 6.35 petang, Khamis lalu.

Menurutnya, serbuan berdasarkan maklumat risikan membabitkan dua unit berasingan di St. Mary Residence.

“Hasil serbuan, polis telah menahan 18 individu terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita warga Taiwan berusia antara 19 hingga 43 tahun.

“Polis turut merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba serta dua helai baju seragam polis Hong Kong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Azwan berkata, berdasarkan barang kes yang ditemukan, sindiket berkenaan disyaki menjalankan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai anggota polis Hong Kong.

Katanya, sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa dari Hong Kong dan menggunakan capaian internet Time bagi menjalankan aktiviti penipuan secara dalam talian.

“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi selama kira-kira lima bulan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 30 Oktober hingga 2 November ini bagi membantu siasatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

“Dalam pada itu, polis menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -UTUSAN

The post 18 warga Taiwan ditahan, sindiket menyamar polis Hong Kong tumpas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved