
SHAH ALAM, 1 OKT: Sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap 17 premis penjualan rokok elektronik di sekitar Subang Jaya menerusi operasi bersepadu membabitkan empat agensi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Muhamad Hanif Asa’ari berkata tindakan itu merangkumi kompaun keseluruhan RM35,000, selain rampasan barangan dianggarkan bernilai RM38,000.
Beliau berkata operasi bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu membabitkan 68 anggota.
Menurutnya, pasukan berkenaan terdiri daripada 17 pegawai dan anggota KPDN Selangor, 40 anggota MBSJ, lima pegawai KKM serta enam pegawai SSM.
“Operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik mematuhi perundangan berkaitan, termasuk aspek perdagangan, kesihatan, pendaftaran perniagaan dan pelesenan premis,” katanya dalam kenyataan, lapor KOSMO! ONLINE
Muhamad Hanif berkata KPDN Selangor membuka tiga kes di bawah Perenggan 6, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022 kerana kegagalan mematuhi ketetapan penandaan peranti atau alat ganti.
KPDN turut mengeluarkan lima kompaun di bawah Akta Timbang Sukat 1972 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala MBSJ mengeluarkan 14 kompaun berkaitan pelesenan tred, perniagaan dan perindustrian serta iklan.
SSM pula mengeluarkan lima kompaun di bawah akta yang dikuatkuasakan agensi itu, sementara KKM mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 18(1)(a) atas kesalahan gagal mempamerkan tanda amaran larangan merokok.
“KPDN ingin mengingatkan semua peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan rokok elektronik agar sentiasa mematuhi sepenuhnya keperluan perakuan dan penandaan peranti rokok elektronik yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan,” katanya.
Beliau menegaskan setiap peranti rokok elektronik atau alat ganti yang ditawarkan untuk jualan perlu mempunyai perakuan pihak berkuasa berwibawa dan tanda ditetapkan, selain KPDN akan terus mempertingkat pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi peruntukan berkenaan.






