
PETALING JAYA – Barangan makanan buatan China dan cecair dipercayai alkohol dengan nilai keseluruhan RM1.02 juta dirampas dalam Op Taring Alpha 5 di sebuah premis di Taman Perindustrian Subang, di sini, hari ini.
Rampasan membabitkan 118 jenis barangan makanan dan 23 kotak cecair alkohol itu dilakukan menerusi operasi bersepadu melibatkan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, pemeriksaan bersepadu itu turut mendapati terdapat beberapa pelanggaran peruntukan undang-undang berkaitan.
“PKD Petaling, KKM mengambil tindakan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan berkaitan termasuk kompaun atas kesalahan label produk makanan serta kegagalan menyatakan alamat pengimport di Malaysia.
“Kesemua barangan makanan disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pada pukul 11.30 pagi itu turut membawa kepada penahanan empat warga Myanmar dipercayai penyelia dan pekerja premis serta seorang pengurus bagi membantu siasatan.
Turut dirampas 23 kotak mengandungi pelbagai jenis alkohol buatan China disyaki tidak bercukai dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
MBSJ pula mengeluarkan kompaun atas kesalahan menjalankan aktiviti establismen makanan tanpa lesen dan notis penutupan premis mengikut peruntukan undang-undang kecil berkaitan.
Individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.
Pengurus premis diserahkan kepada pihak JKDM bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967.
Untuk rekod, sejak 1 Januari hingga hari ini, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman melaksanakan sebanyak 272 serbuan dan menahan seramai 459 individu dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM331.7 juta. – KOSMO! ONLINE
The post RM1.02 juta makanan, minuman dipercayai alkohol dirampas appeared first on Kosmo Online.






