
PUTRAJAYA – Kebimbangan penduduk Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, di sini, atau lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’ semakin memuncak apabila kawasan kediaman mereka didakwa semakian menjadi tumpuan warga asing.
Tinjauan Kosmo! di pangsapuri itu mendapati, kelibat warga asing seperti Bangladesh, Nepal dan Pakistan mudah dilihat terutama di kawasan taman dan beberapa lokasi yang menjadi tempat mereka berkumpul sehingga lewat malam.
Situasi itu menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk yang memilih untuk mengehadkan pergerakan di sekitar kediaman terutama pada waktu malam kerana bimbang berdepan perkara tidak diingini.
Seorang penduduk yang mahu dikenali Saiful, 21, berkata, isu kebersihan turut menambah keresahan mereka apabila sampah dibuang sesuka hati sehingga mencetuskan bau kurang menyenangkan.
“Di sini sampah merata-rata dan kadangkala berbau busuk. Ada kawasan tertentu yang memang berbau kurang menyenangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sementara itu, Siti, 28, yang menetap di kediaman bertingkat itu sejak setahun lalu berkata, terdapat beberapa kejadian yang menyebabkan penduduk kurang selesa termasuk perselisihan antara rakyat tempatan dan warga asing.
“Kadangkala ada sahaja isu seperti bergaduh antara orang tempatan dan warga asing. Kalau saya hendak parking atau pergi ke rumah pun rasa takut.
“Saya pilih untuk cepat-cepat masuk rumah sebab bimbang berlaku apa-apa,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Jat, 24, berkata, kelompok warga asing mula berada di kawasan taman sekitar pukul 9 malam hingga 10 malam.
“Ada warga asing yang berkumpul di kawasan agak tersorok untuk minum minuman keras. Penduduk juga pernah terjumpa botol dan tin arak yang ditinggalkan mereka,” ujarnya.
The post ‘Flat Hijau macam dah bukan Putrajaya’ appeared first on Kosmo Digital.






