
MELAKA: Seramai 18,314 pengunjung membanjiri Zoo Melaka di sini sempena Program Kemasukan Percuma sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini.
Jumlah berkenaan direkodkan apabila pintu Zoo Melaka ditutup tepat pada pukul 4 petang tadi, sekali gus jauh mengatasi sasaran awal 10,000 pengunjung.
Menurut jurucakap Zoo Melaka, sambutan luar biasa itu turut menyaksikan kehadiran pengunjung dari beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.
Katanya, walaupun pintu zoo hanya dibuka bermula pukul 9 pagi, orang ramai sudah membentuk barisan seawal pukul 6.30 pagi.
“Jumlah pengunjung menunjukkan sambutan amat menggalakkan. Orang ramai datang seawal pagi bersama keluarga bagi mengambil peluang menikmati kemasukan percuma sempena Hari Kebangsaan,” katanya.
Katanya, berlaku lonjakan ketara selepas tengah hari apabila jumlah pengunjung mencecah 9,095 orang pada pukul 12.30 tengah hari dan meningkat kepada 13,222 orang pada 2.30 petang.
Ujarnya, program tersebut berjalan lancar tanpa sebarang isu atas persediaan daripada aspek operasi, kebersihan, keselamatan dan pengurusan pergerakan pengunjung. – UTUSAN
The post 18,314 serbu Zoo Melaka, beratur seawal 6.30 pagi appeared first on Utusan Malaysia.






